KUALA LUMPUR, 18 Januari 2026 – Barisan Nasional (BN) hari ini secara rasmi mengesahkan Parti Progresif Penduduk (PPP) sebagai anggota penuh gabungan itu, sekali gus menambah kekuatan dan kesepaduan parti-parti komponen di bawah payung BN.
Pengerusi BN, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengesahan keanggotaan PPP dibuat menerusi surat bertarikh 3 November 2025 yang telah dibacakan beliau, namun pengumuman rasmi sengaja ditangguhkan bagi menghormati penganjuran Perhimpunan Agung PPP.
“Ini merupakan satu berita gembira bukan sahaja untuk PPP, tetapi juga kepada Barisan Nasional secara keseluruhannya,” katanya.
Menurut beliau, dengan penyertaan PPP, BN kini mempunyai lima parti teras, iaitu UMNO, MCA, MIC, PBRS dan PPP, sekali gus mencerminkan kestabilan serta ketenteraman yang semakin kukuh dalam gabungan tersebut.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa perkembangan ini membuktikan kesatuan dan kesepaduan dalam kalangan parti komponen BN, khususnya apabila kehadiran kepimpinan MIC dapat dilihat dalam beberapa program penting kebelakangan ini.
Beliau memaklumkan bahawa semasa Perhimpunan Agung UMNO, MIC diwakili oleh Timbalan Presidennya, manakala dalam sesi pra-majlis bersama Ahli Parlimen, Senator serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), MIC turut menghantar wakil tertinggi parti itu.
“Ini memperlihatkan bahawa ‘ribut dalam cawan’ telah selesai,” katanya, merujuk kepada isu dalaman yang sebelum ini menjadi perhatian.
Tambah beliau, kemasukan rasmi PPP sebagai anggota penuh BN hari ini menjadi pelengkap kepada berita gembira yang menandakan era baharu kestabilan dan kerjasama lebih erat dalam Barisan Nasional.
#BarisanNasional #PPP #BNKukuh #PolitikMalaysia #ZahidHamidi #PerpaduanBN #BeritaAATV #PolitikStabil #AgendaBN #MalaysiaBersatu