KUALA LUMPUR, 17 Januari 2026 — Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) menyatakan pendirian tegas, terbuka dan tidak berkompromi menolak cadangan pengambilalihan serta pertukaran saham antara Sunway Berhad dan IJM Corporation Berhad, yang disifatkan sebagai transaksi tidak seimbang dan berpotensi merugikan kepentingan negara.

Presiden PERDASAMA, Mohd Azamanizam Baharon, berkata cadangan bernilai kira-kira RM11 bilion itu bukan sekadar urus niaga korporat biasa, sebaliknya melibatkan pemindahan aset strategik negara menggunakan instrumen kewangan berisiko tinggi yang boleh menjejaskan ekuiti Bumiputera serta dana awam milik rakyat.
Menurut beliau, struktur transaksi yang diumumkan pada Januari 2026 jelas berat sebelah apabila 90 peratus bayaran dibuat melalui penerbitan saham baharu Sunway, manakala hanya 10 peratus dibayar secara tunai, sekali gus meletakkan pemegang saham IJM dalam kedudukan yang lemah.
“Sunway menggunakan sahamnya yang kini diniagakan jauh lebih mahal daripada nilai aset sebenar sebagai ‘mata wang’ untuk mengambil alih aset strategik negara,” tegasnya dalam satu kenyataan media.
Penilaian Tidak Seimbang, Nilai IJM Diperkecilkan
PERDASAMA turut mendedahkan perbezaan ketara dari sudut penilaian pasaran kedua-dua syarikat. Saham IJM diniagakan sekitar RM2.80 dengan Nilai Aset Ketara (NTA) sekitar RM2.91, manakala saham Sunway berada pada paras RM5.63 walaupun NTA hanyalah sekitar RM2.34, iaitu lebih 2.4 kali ganda daripada nilai aset sebenar.
Keadaan ini menjadikan transaksi tersebut secara asasnya memindahkan nilai daripada pemegang saham IJM kepada Sunway, sekali gus menimbulkan persoalan integriti pasaran dan keadilan kepada pemegang kepentingan sedia ada.
Ancaman Kepada Dana Rakyat dan Ekuiti Bumiputera
PERDASAMA menegaskan bahawa IJM bukan syarikat biasa, memandangkan pemegang saham utamanya terdiri daripada institusi pelaburan milik rakyat seperti KWSP, PNB/ASB, KWAP dan Tabung Haji.
“Jika transaksi ini diteruskan, aset strategik negara berpindah tangan, tetapi rakyat hanya menerima pegangan minoriti dalam syarikat yang nilainya berisiko berada pada paras tidak realistik,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya harga saham Sunway merosot pada masa hadapan, kerugian akan ditanggung oleh dana rakyat, bukan oleh pihak pengambil alih.
Desakan Kepada Kerajaan dan Pengawal Selia
Sehubungan itu, PERDASAMA mendesak YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, untuk campur tangan secara langsung bagi menghalang apa yang disifatkan sebagai kesilapan dasar besar yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi negara.
Antara tuntutan utama PERDASAMA ialah:
- Penggantungan serta-merta semua proses transaksi.
- Siasatan penuh oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia terhadap pergerakan serta penilaian saham Sunway.
- Penolakan transaksi oleh KWSP, PNB, KWAP, Tabung Haji dan semua GLIC sehingga penilaian bebas, telus dan adil dilaksanakan.
“Jika Sunway benar-benar mahu memiliki IJM, buatlah tawaran tunai atau tawaran yang mencerminkan nilai sebenar IJM, bukan melalui saham yang telah dimahalkan pasaran,” tegasnya.
Menurut PERDASAMA, isu ini melangkaui soal kewangan semata-mata, sebaliknya melibatkan maruah ekonomi negara dan masa depan pemilikan aset strategik Bumiputera.
“PERDASAMA tidak akan berdiam diri melihat ekuiti Bumiputera dan dana rakyat dikorbankan melalui transaksi yang tidak adil, tidak seimbang dan berbahaya,” katanya.
#PERDASAMA #SunwayIJM #DanaRakyat #EkuitiBumiputera #AsetStrategikNegara #IntegritiPasaran #GLIC #KWSP #EkonomiNegara #BeritaAAC