
KUALA LUMPUR | 15 Januari 2026 — Keputusan rasmi Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bertarikh 5 Disember 2025 mendedahkan berlakunya pelanggaran serius Perlembagaan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kesahihan proses pemilihan Presiden Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
Menurut dokumen rasmi ROS yang didedahkan kepimpinan MIPP, siasatan mendapati terdapat individu yang tidak berdaftar sebagai ahli sah namun terlibat secara langsung dalam urusan parti, termasuk membuat keputusan bagi pihak MIPP. Perkara tersebut disifatkan sebagai pelanggaran Fasal 4.2 Perlembagaan MIPP berkaitan keahlian parti.
Selain isu keahlian, ROS turut mengesahkan berlakunya salah urus kewangan apabila dana parti tidak diurus melalui akaun bank rasmi MIPP. Keadaan ini berpunca daripada status Setiausaha Agung parti yang disahkan bankrap sejak tahun 2016, sekali gus melanggar Akta Pertubuhan 1966 serta prinsip asas ketelusan kewangan sesebuah parti politik.
Siasatan sama turut mendedahkan pelanggaran tatacara keahlian apabila Presiden dan Setiausaha Agung MIPP meluluskan pengecualian bayaran yuran kepada ahli baharu, satu tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan parti. Keadaan itu menimbulkan persoalan serius terhadap kesahihan struktur keahlian serta Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang telah diadakan sebelum ini.
Berikutan pelanggaran berterusan tersebut, ROS telah mengeluarkan Surat Amaran Rasmi kepada MIPP atas kegagalan mematuhi peruntukan perlembagaan parti dan undang-undang pertubuhan.
Dalam kenyataan media berasingan, kepimpinan MIPP memberi amaran bahawa sebarang penglibatan individu yang status keahliannya telah dipertikaikan dan kini disahkan bermasalah oleh ROS dalam urusan rasmi Perikatan Nasional, termasuk proses pengundian atau perwakilan dalam pemilihan Presiden PN, berpotensi menyebabkan keseluruhan proses tersebut dicabar di mahkamah dan diisytiharkan tidak sah pada masa hadapan.
Jurucakap MIPP, Suthan Mookaiah, menegaskan isu berkenaan tidak boleh dianggap sebagai pertikaian dalaman semata-mata kerana ia melibatkan integriti dan kedaulatan undang-undang dalam sebuah gabungan politik nasional.
“Ini bukan isu dalaman MIPP semata-mata. Ini soal integriti Perikatan Nasional. PN tidak boleh mengambil risiko membenarkan individu yang status keahliannya telah dipertikaikan oleh ROS terus mewakili parti dalam Majlis Tertinggi gabungan,” katanya.
Untuk rekod, isu keahlian dan kesahihan kepimpinan MIPP kini turut berada dalam perhatian Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi satu saman interparte, dengan keputusan dijadualkan pada Februari 2026.
MIPP turut memaklumkan bahawa nasihat rasmi telah dikemukakan kepada Sekretariat PN supaya menggantung penyertaan serta hak pengundian wakil-wakil MIPP yang dipertikai sehingga status undang-undang mereka diputuskan sepenuhnya oleh mahkamah.
#AATV #ROS #MIPP #PerikatanNasional #KrisisPolitik #IntegritiPolitik #UndangUndangNegara #PemilihanPN #PolitikMalaysia #PendedahanAATV
