SEPANG – Pasaran pekerjaan masa kini menuntut graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki kemahiran praktikal, sikap profesional dan kebolehan menguasai lebih daripada satu bahasa.

Keupayaan ini dilihat semakin menjadi faktor utama dalam penilaian majikan, khususnya dalam persekitaran kerja yang kompetitif dan bersifat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata perubahan keperluan industri memerlukan institusi pendidikan tinggi (IPT) melakukan penyesuaian berterusan terhadap pendekatan pengajaran dan kurikulum agar lebih relevan dengan realiti dunia pekerjaan.

Menurut beliau, pembelajaran di IPT tidak seharusnya terhad kepada penguasaan teori semata-mata, sebaliknya perlu memberi penekanan kepada pengalaman praktikal yang membolehkan pelajar memahami aplikasi sebenar ilmu yang dipelajari.

Pengalaman melalui latihan industri dan pendedahan secara langsung kepada persekitaran kerja amat penting dalam membentuk graduan yang lebih bersedia.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan akademik yang cemerlang bukan lagi jaminan mutlak untuk mendapatkan pekerjaan.

Graduan yang memiliki ijazah kelas pertama juga boleh menghadapi kesukaran sekiranya tidak dilengkapi dengan kemahiran insaniah, kebolehan komunikasi serta keupayaan menyelesaikan masalah secara berkesan.

Sehubungan itu, Mohammad Shatar menyarankan supaya konsep 3L iaitu Learn by Seeing, Learn by Doing dan Learn by Listening dijadikan teras dalam transformasi pengajaran dan pembelajaran di IPT.

Pendekatan ini diyakini mampu melahirkan graduan yang lebih yakin, berdaya saing dan selari dengan kehendak majikan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah umum bertajuk ‘Let’s Us Make UiTM Greater’ yang melibatkan penyertaan pensyarah dan kakitangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dari seluruh negara, sama ada secara bersemuka mahupun dalam talian. Majlis tersebut turut dihadiri Naib Canselor UiTM, Prof. Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, bersama barisan pengurusan tertinggi universiti.

Dalam pada itu, Mohammad Shatar menegaskan bahawa penguasaan pelbagai bahasa asing merupakan nilai tambah penting yang semakin mendapat perhatian majikan, terutamanya dalam sektor antarabangsa dan syarikat multinasional.

Graduan yang mampu bertutur dalam tiga hingga lima bahasa mempunyai kelebihan untuk berkomunikasi secara efektif dalam persekitaran kerja pelbagai budaya.

Katanya, kebolehan berbahasa asing bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan di dalam negara, malah membuka ruang kerjaya yang lebih luas di peringkat global.

Keupayaan ini juga selari dengan aspirasi negara untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat pendidikan bertaraf antarabangsa.

Beliau yakin bahawa pelaksanaan menyeluruh terhadap pendekatan pendidikan yang lebih praktikal dan berorientasikan industri mampu menyokong usaha kerajaan dalam melahirkan modal insan berkualiti tinggi, sejajar dengan hasrat Menteri Pendidikan, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, untuk memperkasa ekosistem pendidikan tinggi negara.

By Cynthia

Leave a Reply