PETALING JAYA, 4 Mac 2026 – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan syarikat korporat Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd hari ini melaksanakan program Sinar Kasih Ramadan bagi menyantuni golongan miskin di sekitar daerah Petaling.
Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, Dato’ Zainal Abidin Sakom, berkata program tersebut melibatkan penyaluran bantuan kepada puluhan keluarga yang dikenal pasti melalui pangkalan data e-Kasih.

Menurut beliau, seramai 49 penerima bantuan di daerah Petaling dikenal pasti untuk menerima sumbangan dalam program tersebut, manakala bantuan lain turut diagihkan di daerah-daerah lain di Selangor.
“Hari ini kita turun padang bersama pihak ICU Selangor dan juga rakan korporat untuk melihat sendiri keadaan keluarga penerima bantuan. Kebanyakan sumbangan telah disampaikan oleh pegawai-pegawai sebelum ini,” katanya.

Beliau turut berkongsi kisah sebuah keluarga penerima bantuan yang mempunyai 10 orang anak, dengan salah seorang anak mereka bakal menamatkan pengajian di peringkat akhir dan dijangka mampu membantu keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan.
Dalam usaha memastikan masa depan anak-anak keluarga tersebut terus terjamin, YBK turut menawarkan kemudahan asrama untuk anak-anak mereka sama ada di sekolah rendah di Tanjung Malim atau sekolah menengah di Serendah, Rawang, dengan segala kos ditanggung sepenuhnya.

Dato’ Zainal Abidin turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah ICU Selangor, Dato’ Hj Mohd Khidir Majid serta rakan korporat yang menyokong usaha membasmi kemiskinan melalui program kebajikan seperti ini.
Menurut beliau lagi, pada tahun ini pihak ICU turut menyediakan peruntukan lebih 200 bakul makanan untuk diagihkan kepada keluarga yang memerlukan.
Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Islam dan Perhubungan Kerajaan Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd, Ahmad Syukry Ibrahim, berkata penyertaan syarikat tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

“Kehadiran kami hari ini bersama Yayasan Basmi Kemiskinan dan ICU adalah untuk menyalurkan sumbangan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Ini adalah usaha ‘give back to society’ oleh pihak syarikat,” katanya.
Menurut beliau, Mamee bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan perniagaan, tetapi turut mengambil berat nasib masyarakat yang memerlukan bantuan.
Tambah beliau, kerjasama antara Mamee dan Yayasan Basmi Kemiskinan telah berlangsung lebih lima tahun, dan pada tahun ini syarikat tersebut menyumbang lebih 200 beg bantuan makanan untuk diagihkan kepada penerima yang layak.
Dalam pada itu, Pengarah ICU JPM Selangor, Dato’ Hj Mohd Khidir Majid, memaklumkan bahawa statistik terkini menunjukkan terdapat 19,839 ketua isi rumah miskin di Selangor pada tahun 2026, dengan 76 peratus daripadanya merupakan miskin bandar.
Beliau berkata angka tersebut menunjukkan keperluan kerjasama bersepadu antara kerajaan, NGO dan sektor korporat bagi menangani isu kemiskinan secara menyeluruh.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa Selangor berjaya mencatat satu pencapaian penting apabila kategori miskin tegar di negeri itu berjaya disifarkan pada 20 Februari lalu.
Menurut beliau, Kerajaan Madani kini memberi tumpuan kepada empat kluster utama dalam usaha membasmi kemiskinan, iaitu pendidikan, kebajikan, perumahan dan peningkatan pendapatan isi rumah.
“Pendidikan merupakan jalan keluar paling berkesan dalam jangka panjang untuk memutuskan kitaran kemiskinan. Oleh itu kerajaan menyediakan pelbagai peruntukan bagi membantu anak-anak daripada keluarga miskin meningkatkan peluang pendidikan mereka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha membasmi kemiskinan tidak boleh dilaksanakan oleh kerajaan sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak termasuk NGO seperti Yayasan Basmi Kemiskinan.
Program Sinar Kasih Ramadan ini dilihat sebagai satu usaha bersepadu untuk menyantuni golongan kurang berkemampuan serta meringankan beban mereka menjelang Ramadan dan Aidilfitri.
Antara Penerima Bantuan Program Sinar Kasih Ramadan.
Beberapa keluarga yang menerima bantuan dalam program ini terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang menetap di sekitar Petaling Jaya dan kawasan PPR.
Antaranya ialah Eddie Irwan Che Rahim, 45, yang bekerja sebagai penghantar barang dan menetap di PPR Lembah Subang 1 bersama tujuh ahli keluarga lain.
Beliau memperoleh pendapatan isi rumah sekitar RM5,603.17 dengan pendapatan per kapita sebanyak RM700.39. Isterinya bekerja secara sambilan menjual makanan dengan pendapatan kira-kira RM400 sebulan, manakala lima orang anak mereka masih bersekolah.
Keluarga ini menerima beberapa bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah serta bantuan kewangan dan makanan bulanan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS). Selain itu, mereka turut menerima bantuan khas Ramadan dan keperluan pendidikan berjumlah RM1,650 pada tahun ini.
Seorang lagi penerima bantuan ialah Mohamad Nor Malek, 49, seorang pemandu lori yang tinggal di Flat PPR Lembah Subang bersama enam ahli keluarga.
Pendapatan isi rumah beliau dianggarkan sekitar RM2,976.33 dengan pendapatan per kapita RM425.19. Isterinya turut membantu keluarga dengan menjual makanan secara sambilan, manakala lima orang anak mereka masih bersekolah.
Keluarga ini menerima bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah serta bantuan kewangan bulanan LZS, selain bantuan sekali beri bagi keperluan Ramadan, pendidikan dan kos sara hidup berjumlah RM3,520.
Selain itu, Suhaimi Omar, 62, seorang juruteknik yang menetap di Taman Medan, Petaling Jaya, turut menerima bantuan dalam program tersebut.
Beliau mempunyai 12 orang ahli keluarga dengan pendapatan isi rumah sekitar RM7,930.06. Isterinya tidak bekerja kerana perlu menguruskan anak-anak yang masih bersekolah.
Dua orang anak beliau turut bekerja sebagai pembantu kilang bagi membantu menyara keluarga. Suhaimi kini menerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah serta bantuan BINGKAS daripada kerajaan negeri Selangor.
Turut menerima bantuan ialah Suaslina Ibrahim, 43, seorang peniaga makanan yang tinggal di Taman Medan bersama keluarganya yang besar.
Beliau dan suami memperoleh pendapatan sekitar RM2,600 sebulan, namun perlu menanggung sembilan orang anak yang masih belajar, termasuk dua yang kini melanjutkan pengajian di universiti.
Keluarga ini menerima pelbagai bentuk bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah, bantuan kanak-kanak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta bantuan kewangan dan sewa rumah daripada Lembaga Zakat Selangor.
Kisah keluarga-keluarga ini menggambarkan realiti kehidupan golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar yang masih memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan, NGO serta sektor korporat.
#BeritaAAC #ZiarahKasihRamadan #BasmiKemiskinan #BantuanRakyat #SelangorPrihatin #CSRMalaysia #MameePrihatin #KerajaanMadani #BantuanRamadan #KomunitiPrihatin