

AMPANG, 11 Mac 2026 – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) meneruskan usaha membantu golongan memerlukan apabila menyampaikan sumbangan menerusi program Sinar Kasih Ramadan (SKR) kepada dua keluarga yang menghadapi kesukaran hidup di sekitar Ampang.
Salah satu keluarga yang menerima bantuan ialah keluarga Encik Mohd Nor Firdaus Abdullah, yang sebelum ini menjadi perhatian selepas videonya tular di media sosial memaparkan kesusahan hidup yang dihadapi.
Encik Mohd Nor Firdaus mencari rezeki dengan mengutip kotak kadbod terpakai untuk dijual selain menawarkan perkhidmatan urutan. Beliau dianggarkan memperoleh sekitar RM600 sebulan, manakala isterinya, Puan Nurul Asyikin Kamarudin, tidak bekerja.
Pasangan tersebut kini tinggal di sebuah rumah ‘town house’ dengan kadar sewa RM650 sebulan, yang dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor. Difahamkan keluarga ini baru berpindah dari Kuantan, Pahang dan mempunyai empat orang anak, dua daripadanya masih bersekolah di Tingkatan 1 dan Darjah 3.
Menurut YBK, anak kedua pasangan itu menunjukkan tanda-tanda seperti autisme, namun masih belum disahkan secara klinikal dan belum memperoleh pengiktirafan Orang Kurang Upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Dua lagi anak mereka masing-masing berumur lima tahun dan setahun.
Dalam masa sama, YBK turut menawarkan peluang biasiswa Asrama Kasih YBK kepada keluarga berkenaan sebagai usaha membantu masa depan pendidikan anak-anak mereka.
Sementara itu, dalam kes berasingan, YBK turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga adik Nur Hannina Mohd Shah Jahan, seorang anak yatim piatu yang baru kehilangan ibunya pada awal bulan ini, manakala bapanya telah meninggal dunia pada tahun 2024.
Adik Nur Hannina kini tinggal bersama kakak sulungnya, Cik Hidayah Mohd Shah Jahan, yang mengambil tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk menjaga empat orang adik-beradiknya.
Cik Hidayah menyara keluarga dengan bekerja sebagai penganalisis data (data annotation) dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.
Difahamkan lima beradik tersebut masih belum menerima sebarang bantuan rasmi daripada mana-mana agensi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan sebelum ini.
Sehubungan itu, YBK turut menawarkan peluang biasiswa Asrama Kasih YBK bagi membantu memastikan masa depan pendidikan mereka lebih terjamin.
Sumbangan tunai kepada kedua-dua keluarga tersebut telah disampaikan oleh PYBK Construction Sdn. Bhd. melalui majlis penyerahan yang disempurnakan oleh Pengurus Besar YBK, Encik Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Pengurus Media dan Perhubungan Awam YBK, Encik Audi Faliq Ibrahim, Pengurus Pendidikan, Modal Insan dan Penyelidikan YBK, Puan Halimaton Saadiah Mohd Nawawi, serta Pengerusi Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin, Mohd Rizal Othman.
Turut hadir ialah Pengetua SMK Pandan Indah, Tuan Busrah Maulah, Penolong Kanan HEM Puan Juhaidah Mohd Mokhtar, YDP PIBG SMK Pandan Indah, Encik Muhamad Zaharudin Ali, serta Timbalan YDP SK Pandan Indah, Muhammad Asrie Hamli.
Selain bantuan tunai, kedua-dua keluarga turut menerima Kotak Rezeki bernilai RM150 daripada Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU Selangor) serta sumbangan barangan daripada Mamee Double-Decker.
Program Sinar Kasih Ramadan merupakan antara inisiatif YBK bagi membantu keluarga yang memerlukan serta memastikan golongan kurang bernasib baik tidak terpinggir khususnya sepanjang bulan Ramadan.
#SinarKasihRamadhan #YayasanBasmiKemiskinan #BinaKesejahteraan #PandanPrihatin #BantuYangMemerlukan #KisahInsaf #KomunitiPrihatin #BantuanRamadan #MalaysiaPrihatin #BeritaAAC