KUALA LUMPUR, 9 Mac 2026 – Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) secara rasmi mula menggunakan bangunan Akademi Sepak Takraw Malaysia buat kali pertama dalam satu majlis yang turut disertai pemain-pemain kebangsaan sempena program berbuka puasa bersama.
Presiden PSM, Dato’ Mohd Sumali Reduan, berkata penggunaan bangunan tersebut bermula hari ini walaupun majlis perasmian rasmi dijangka akan disempurnakan oleh Perdana Menteri pada awal April nanti.
Menurut beliau, program yang diadakan itu turut melibatkan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM selain majlis tahlil, bacaan Yasin serta solat berjemaah bersama pemain kebangsaan.
“Walaupun perasmian rasmi akan dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri nanti, tetapi secara rasmi kita sudah mula menggunakan bangunan Akademi Sepak Takraw Malaysia hari ini,” katanya kepada media.
Beliau menjelaskan kemudahan di akademi berkenaan kini hampir siap sepenuhnya dengan hanya sekitar satu hingga dua peratus kerja akhir yang masih dalam proses.
Antara fasiliti yang disediakan termasuk penginapan pemain yang telah dinaik taraf, gimnasium khas untuk latihan sepak takraw, bilik seminar lengkap dengan sistem audio visual serta kemudahan galeri sejarah sepak takraw negara.
Menurut Sumali, bilik seminar di akademi tersebut mampu memuatkan kira-kira 100 hingga 120 peserta dan boleh digunakan untuk bengkel, kursus serta program pembangunan sukan sepak takraw.
Selain itu, akademi berkenaan turut dilengkapi dengan galeri sejarah sepak takraw, mural berkaitan sukan tersebut serta sebuah sport kafe yang bakal beroperasi dari jam 8 pagi hingga 12 malam bagi menjadikannya sebagai pusat komuniti peminat sukan berkenaan.
Beliau berkata akademi itu juga akan menjadi antara lokasi persediaan penting bagi skuad kebangsaan menjelang kejohanan antarabangsa seperti Piala Dunia Sepak Takraw, Kejohanan Raja Thai dan Sukan Asia.
Namun katanya, pemain utama yang berada dalam program podium masih menjalani latihan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dan hanya akan ditempatkan di akademi tersebut bagi kem latihan tertentu sebelum kejohanan besar.
“Kemungkinan seminggu sebelum kejohanan besar seperti Piala Dunia, pemain akan ditempatkan di sini untuk menggunakan gelanggang baharu dan kemudahan yang ada,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sumali turut memaklumkan bahawa Kejohanan Piala Emas Khir Johari akan menjadi kejohanan pertama yang dianjurkan di venue tersebut.
Sebanyak 21 pasukan lelaki dan 12 pasukan wanita dijangka mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan yang turut mengekalkan format pertandingan seperti edisi sebelum ini.
Tambah beliau, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM yang diadakan turut membincangkan persiapan skuad kebangsaan menghadapi kejohanan utama selain usaha memperkukuh ketahanan mental serta strategi permainan khususnya dalam acara kuadran.
“Jurulatih juga telah menyenaraikan gabungan pemain senior dan pemain muda dalam skuad kebangsaan bagi memastikan kesinambungan generasi baharu sepak takraw negara,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa isu pelepasan pemain yang sebelum ini dibangkitkan telah berjaya diselesaikan dan kebanyakan pemain kini bebas untuk menyertai latihan serta program persiapan pasukan.
PSM juga merancang melahirkan lebih ramai pemain pelapis apabila seramai enam pemain bawah 23 tahun akan mula menjalani program pembangunan selepas Kejohanan Piala Emas Khir Johari nanti.
#SepakTakraw #TeamMalaysia #AkademiSepakTakraw #PSM #PialaEmasKhirJohari #SukanAsia #TakrawMalaysia #SukanNegara #TeamMalaysiaBangkit #BeritaAATV