KUALA LUMPUR, 21 April 2026 – Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) membantah sekeras-kerasnya penubuhan anak syarikat baharu, Tenang Capital Berhad (TCB), dalam struktur Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), kerana mendakwa penubuhan entiti itu menimbulkan pelbagai persoalan serius dari sudut tadbir urus, ketelusan dan kepentingan masa depan pekerja.
Menurut kenyataan yang diutarakan oleh wakil kesatuan, pihak mereka difahamkan bahawa TCB telah ditubuhkan sekitar Julai 2025 dengan fungsi asal untuk menguruskan perniagaan bukan teras KTMB seperti perkhidmatan tren sewa khas, pengiklanan, Myra, hartanah, cenderahati serta perkhidmatan tambah nilai di atas tren. Penubuhan itu didakwa diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah KTMB dengan pembiayaan penuh menggunakan dana kewangan KTMB sendiri.
Bagaimanapun, kesatuan mempersoalkan keputusan tersebut kerana mendakwa ia dibuat secara tergesa-gesa ketika hanya berbaki beberapa minggu sebelum Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ketika itu, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, melepaskan jawatan pada 31 Julai 2025.
Dalam masa sama, bekas Ketua Pegawai Korporat, Suhaimi Yaacob, juga melepaskan jawatan pada tarikh yang sama sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tenang Capital Berhad, sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pekerja.
KPPKTMB berkata, sehingga sidang media itu diadakan, tiada sebarang taklimat rasmi atau penjelasan diberikan kepada pihak kesatuan walaupun mereka merupakan wakil sah pekerja KTMB. Keadaan itu, menurut mereka, telah menimbulkan syak wasangka terhadap tujuan sebenar penubuhan syarikat tersebut, termasuk persoalan sama ada TCB benar-benar diwujudkan untuk memperkukuh operasi syarikat atau sebaliknya.
Antara isu utama yang dibangkitkan ialah peranan sebenar TCB dalam struktur KTMB, manfaat langsung kepada syarikat dan pekerja, serta sebab kesatuan tidak dilibatkan lebih awal seperti yang pernah berlaku dalam cadangan penubuhan entiti lain sebelum ini. Kesatuan turut mempersoalkan keputusan menyerahkan perkhidmatan F&B dalam tren ETS dan operasi aplikasi KITS Style kepada TCB, walhal tugas berkenaan sebelum ini dikendalikan jabatan dalaman KTMB.
Selain itu, kesatuan mendakwa TCB tidak mempunyai rekod atau pengalaman dalam bidang perkeretaapian, manakala sebahagian pekerjanya pula merupakan kakitangan KTMB yang dipinjamkan secara secondment dengan bayaran elaun.
Mereka turut mempersoalkan sumber kewangan untuk membayar gaji CEO serta elaun pinjaman berkenaan, termasuk dakwaan bahawa elaun secondment telah dibayar sejak Ogos 2025 walaupun belum mendapat kelulusan Lembaga Pengarah KTMB terlebih dahulu.
Dalam kenyataan sama, pihak kesatuan memaklumkan bahawa mereka telah menghantar surat rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 29 Oktober 2025 bagi menggesa siasatan telus dijalankan terhadap penubuhan TCB. Aduan itu antara lain menyentuh soal pematuhan prosedur kewangan, kemungkinan penyalahgunaan kuasa, isu tatakelola korporat serta tuntutan supaya penjelasan penuh diberikan kepada semua pihak berkepentingan.
KPPKTMB menegaskan mereka tidak akan berdiam diri sekiranya wujud sebarang tindakan yang boleh menjejaskan hak, kebajikan dan masa depan pekerja serta produktiviti KTMB sebagai pengangkutan rel utama negara. Kesatuan juga berharap peranan utama KTMB sebagai pentadbiran induk dan nadi pengangkutan rel negara tidak diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.
Kenyataan tersebut diakhiri dengan penegasan bahawa bantahan terhadap kewujudan Tenang Capital Berhad akan terus dibawa sehingga penjelasan menyeluruh diberikan kepada pekerja dan rakyat.
#KTMB #TenangCapital #HakPekerja #TadbirUrus #BeritaAATV