
KUALA LUMPUR, 21 April 2026 – Angkatan Karyawan Nasionalis (AKAR) menggesa kerajaan menilai semula struktur dan keberkesanan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), susulan dakwaan bahawa badan itu gagal memainkan peranan secara berkesan dalam menangani krisis tenaga semasa.
Menurut AKAR, kebimbangan semakin memuncak apabila PPPK dilihat mengambil pendekatan pasif dan tidak cukup proaktif ketika negara sedang berdepan cabaran besar melibatkan ketidaktentuan bekalan tenaga global, tekanan inflasi serta gangguan rantaian bekalan yang memberi kesan langsung kepada rakyat dan sektor perniagaan.
AKAR berpandangan, dalam situasi getir seperti ini, negara memerlukan tindakan fiskal yang pantas, terselaras dan berasaskan keperluan semasa. Namun, mereka mendakwa PPPK sehingga kini tidak menunjukkan sebarang kesegeraan mahupun keberanian untuk mengemukakan pakej rangsangan fiskal yang benar-benar mampu membantu rakyat serta meredakan tekanan ke atas pemain industri.
Lebih membimbangkan, AKAR mendakwa kelembapan badan itu memberi gambaran seolah-olah wujud elemen “boikot senyap” terhadap usaha Perdana Menteri yang sejak awal dilihat bergerak aktif dan menyeluruh dalam menangani krisis tenaga, termasuk menerusi sesi libat urus langsung dengan pemain industri, pimpinan negeri serta rakan serantau.
Menurut kenyataan itu lagi, ketika kepimpinan tertinggi negara bertindak dalam mod krisis, PPPK pula dilihat masih terperangkap dalam budaya birokrasi yang tidak selari dengan keperluan mendesak di lapangan. Keadaan itu, kata AKAR, bukan sahaja menjejaskan keberkesanan dasar, malah boleh menghakis keyakinan rakyat dan pelabur terhadap keupayaan kerajaan untuk bertindak secara tegas, pantas dan bersepadu.
Sehubungan itu, AKAR menegaskan bahawa tiada ruang untuk sikap berkecuali atau pendekatan business as usual dalam menghadapi krisis tenaga global yang semakin meruncing. PPPK sepatutnya menjadi pemacu utama kepada penyelarasan dasar dan rangsangan fiskal, bukannya dilihat menjadi penghalang kepada momentum yang telah digerakkan di peringkat kepimpinan tertinggi negara.
Justeru, AKAR menggesa satu penilaian menyeluruh dilakukan terhadap peranan dan keberkesanan PPPK, termasuk mempertimbangkan penstrukturan semula jika kelemahan yang dibangkitkan terus berlarutan tanpa tindakan segera.
#KrisisTenaga #MTEN #PPPK #AKAR #IsuRakyat