
KOTA DAMANSARA, 19 Julai 2026 – Jenama automotif nasional, Proton, terus memperkukuh kehadirannya di pasaran tempatan dengan pelancaran rasmi outlet Pusat Jualan (Sales City Center) Proton terbaharu di Cahaya Kota Damansara. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, YB Tuan Muhammad Izuan Ahmad Kasim.

Pemilik PROTON Cahaya Automotif, Encik Jason Yap, dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur dan menyifatkan pembukaan outlet ini sebagai satu pencapaian peribadi yang amat bermakna. Beliau turut memberikan penghargaan tinggi kepada seluruh pasukan kerja, rakan strategik, serta barisan pengurusan Proton yang banyak membantu merealisasikan pusat jualan berkenaan. Menurutnya, Kota Damansara merupakan sebuah komuniti yang dinamik dan pesat berkembang, dan kewujudan outlet ini bakal membawa Proton lebih dekat dengan masyarakat setempat menerusi perkhidmatan pelanggan yang terbaik.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Kumpulan Proton Cahaya Automotif Kota Damansara, Puan Salawati, dalam ucapannya turut berkongsi prestasi cemerlang syarikat bagi separuh pertama tahun ini. Proton mencatatkan jualan sebanyak 100,346 unit, iaitu peningkatan sebanyak 39% berbanding tahun lalu, sekali gus menjadi angka separuh tahun tertinggi dalam tempoh 15 tahun. Sehingga kini, Proton memiliki 195 pusat servis di seluruh negara dengan 92% daripadanya berkonsepkan 3S dan 4S. Beliau turut mendoakan agar Proton Cahaya Kota Damansara dapat memacu momentum dan menjadi ‘Nombor Satu’ dalam perkhidmatan pelanggan serta jualan di kawasan ini.


YB Tuan Muhammad Izuan Ahmad Kasim ketika merasmikan outlet tersebut menyatakan bahawa beliau mempunyai hubungan emosi yang cukup dekat dengan jenama Proton memandangkan bapanya pernah berkhidmat dengan syarikat automotif berkenaan. Beliau menyambut baik pembukaan cawangan ini dan menyatakan kawasan Kota Damansara merupakan sebuah perbandaran terancang (well-planned town) yang bakal menerima pertambahan penduduk sehingga 60,000 orang menjelang tahun ini melalui projek Kwasa Damansara. Ini memberikan potensi pasaran dan pelanggan yang amat besar buat Cahaya Automotif.


Beliau turut menegaskan bahawa mengekalkan kecemerlangan sesuatu jenama bukan sahaja bergantung kepada prestasi kenderaan, malah perkhidmatan selepas jualan (after-sales service) yang berintegriti amat kritikal bagi memenuhi jangkaan masyarakat, khususnya golongan muda yang majoritinya memilih Proton sebagai kereta pertama mereka. Majlis diakhiri dengan gimik perasmian penanda aras baharu industri automotif tempatan di kawasan DUN Kota Damansara.


#ProtonKotaDamansara #CahayaAutomotif #YBuanMuhammadIzuan #ProtonMalaysia #BeritaAAC #Automotif