KUALA LUMPUR – Platform e-dagang penstriman langsung (live commerce), JAM, memperkukuhkan kedudukannya dalam industri digital negara menerusi pelancaran rasmi JAM Bahasa, sekali gus mengumumkan pasangan selebriti terkenal, Awal Ashaari dan Scha Alyahya, sebagai pengasas bersama (co-founders) bagi menerajui pengembangan syarikat ke pasaran pengguna berbahasa Melayu.
Langkah strategik itu dilihat sebagai fasa baharu dalam perkembangan syarikat yang sebelum ini mencipta kejayaan dalam segmen pengguna berbahasa Cina.
Melalui pelantikan Awal dan Scha, JAM menyasarkan untuk memperluaskan pengaruhnya dalam pasaran Melayu yang mempunyai potensi pertumbuhan besar, selain memperkukuhkan kedudukan sebagai penyedia penyelesaian live commerce premium di Malaysia.
Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan JAM, Cherine Fong, berkata penyertaan Awal Ashaari dan Scha Alyahya bukan sekadar meningkatkan kekuatan jenama syarikat, malah kedua-duanya akan terlibat secara langsung dalam membentuk strategi perniagaan serta hala tuju pertumbuhan syarikat.
Beliau berkata, komuniti Melayu menawarkan peluang pasaran yang amat besar memandangkan ia merupakan kumpulan pengguna dengan kuasa beli terbesar di negara ini, namun segmen e-dagang penstriman langsung premium masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

“Komuniti Melayu merupakan kuasa beli terbesar di Malaysia, menawarkan peluang pasaran yang amat luas, namun segmen e-dagang live secara premium masih belum diteroka sepenuhnya. Apa yang membakar semangat kami adalah model perniagaan ini sebenarnya bersifat universal.
“Kami akan mengguna pakai formula kejayaan yang telah terbukti dalam segmen KOL berbahasa Cina, memperkasakannya dengan elemen tempatan (lokalisasi), dan membawakannya ke pasaran Melayu.
“Jika strategi ini berjaya diaplikasikan daripada satu komuniti ke komuniti yang lain dalam negara yang sama, ia menjadi bukti kukuh bahawa model perniagaan kami mempunyai kebolehskalaan (scalability) yang tinggi,” katanya.
Bagi Scha Alyahya pula, penyertaan beliau sebagai pengasas bersama mencerminkan keyakinannya terhadap masa depan industri live commerce yang kini menjadi antara pemacu utama transformasi sektor runcit digital.
Beliau berkata, pengguna masa kini bukan sahaja mencari produk berkualiti, malah mahukan pengalaman membeli-belah yang lebih interaktif serta cadangan produk yang autentik daripada individu yang dipercayai.
“Pengguna hari ini mahukan cadangan produk yang tulen dan pengalaman membeli-belah yang interaktif. E-dagang live merapatkan jurang komunikasi terus ini secara langsung. Pada pandangan peribadi saya, pasaran bahasa Melayu masih mempunyai ruang pertumbuhan yang amat luas.

“Sebagai pengasas bersama, saya terlibat dalam mencorakkan hala tuju perniagaan syarikat. Ini adalah usaha untuk membina sebuah platform yang dipercayai dan mampu memberi nilai buat pengguna serta jenama tempatan,” katanya.
Selari dengan pengembangan tersebut, JAM turut memperkenalkan sebuah studio produksi penstriman langsung eksklusif berkeluasan 6,500 kaki persegi yang dilengkapi dengan 13 bilik produksi.
Kemudahan baharu itu dijangka meningkatkan kapasiti syarikat dalam menyediakan perkhidmatan penghasilan kandungan dan siaran langsung yang lebih profesional kepada jenama, usahawan serta pencipta kandungan.
Sejak ditubuhkan pada April 2024, JAM berkembang sebagai rangkaian multi-saluran (MCN) yang menguruskan kandungan di pelbagai platform digital termasuk TikTok, Shopee, Lazada dan Instagram.
Prestasi syarikat turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila berjaya merekodkan Nilai Barangan Kasar (GMV) sebanyak RM3.5 juta pada tahun pertama operasinya sebelum mencatatkan pertumbuhan tiga kali ganda pada tahun berikutnya, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan live commerce profesional.
Dengan pelancaran JAM Bahasa serta penyertaan Awal Ashaari dan Scha Alyahya sebagai pengasas bersama, syarikat yakin mampu memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju live commerce premium di Malaysia, sebelum mengembangkan operasi ke beberapa negara Asia Tenggara menjelang tahun 2027.