KUALA LUMPUR, 12 September 2026 – UMNO Terengganu bersedia untuk bersikap ‘berjiwa besar’ dalam mendepani cabaran Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), biarpun ketika ini berada dalam situasi sukar tanpa sebarang penguasaan kerusi di negeri tersebut.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menegaskan bahawa seluruh saf kepimpinan di peringkat negeri memahami dinamik dan realiti politik semasa yang sedang melanda.
Beliau memberi jaminan bahawa UMNO negeri akan sentiasa akur dan patuh terhadap apa jua keputusan serta hala tuju yang dimuktamadkan oleh Presiden parti dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Pada masa sama, bekas Menteri Besar Terengganu itu menolak sekeras-kerasnya tindakan mensabotaj parti dari dalam demi kepentingan peribadi mahupun puak tertentu.
”Kita akur dan kita tidak akan jadi pengkhianat, kita tidak akan jadi gunting dalam lipatan dan kita tidak akan tebuk kapal dari dalam. Kita akan terus menyokong,” tegasnya.
Bagaimanapun, beliau merayu kepada pucuk pimpinan tertinggi parti agar mewujudkan situasi menang-menang (win-win situation) sekiranya perbincangan atau rundingan kerusi diadakan bersama rakan gabungan.
Ahmad Razif mengingatkan agar sebarang perkiraan politik perlulah dibuat secara bijaksana supaya tidak memadamkan terus legasi serta masa depan UMNO di Terengganu.
Beliau meletakkan satu pendirian tegas yang tidak boleh dikompromi, iaitu memastikan UMNO tetap memiliki wakil di setiap bahagian Parlimen di negeri itu.
”Jangan hari ini menyebabkan UMNO Terengganu terus berkubur. Paling tidak, biarlah setiap bahagian perlu ada wakil daripada UMNO. Ini ‘not compromise’ (tidak boleh dikompromi), ini perlu kita tegaskan di situ,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau meletakkan sepenuh keyakinan kepada kebijaksanaan Presiden UMNO dan barisan MKT untuk merencana percaturan terbaik bagi mengembalikan kekuatan parti di Terengganu.
#BeritaAAC #UMNOTerengganu #PRU16 #AhmadRazif #PolitikMalaysia