KUALA LUMPUR, 18 September 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) mendedahkan tindakan tidak berperikemanusiaan oleh pihak pemaju bersama elemen kongsi gelap yang didakwa menekan dan mengugut seorang penternak lembu serta keluarganya di kawasan sempadan Sepang-Negeri Sembilan.
Aktivis Sosial SBKN, Dato’ Dr. Kalaivanar berkata, mangsa dikenali sebagai Sai Baba Sangapillai bersama isterinya, Saraswathy, telah menyewa sebidang tanah seluas kira-kira dua ekar di Lot PT 4885, Kampung Bagan Lalang, Sepang selama tujuh tahun untuk mengusahakan kandang ternakan lembu dan kambing.
Difahamkan, mangsa membayar sewa bulanan secara konsisten kepada pemilik tanah asal sejak tahun 2021. Namun, situasi bertukar keruh apabila sebuah syarikat pemaju gergasi terkemuka mengambil alih tapak projek berkenaan dan meminta kawasan tersebut dikosongkan dengan segera.
Lebih mendukacitakan, proses pengosongan itu didakwa tidak disertakan dengan sebarang rundingan pampasan yang wajar kepada penyewa, walaupun mangsa telah membelanjakan modal puluhan ribu ringgit bagi mendirikan infrastruktur kandang ternakan tersebut.
Keluarga mangsa kini berada dalam ketakutan melampau ekoran kehadiran sekumpulan individu disyaki ‘kuncu’ kongsi gelap yang sering datang mengganggu, menghamburkan kata-kata kesat dan lucah, serta mengugut untuk merobohkan kandang menggunakan jentera berat.
Bukan itu sahaja, situasi semakin mencemaskan apabila belasan ekor lembu milik mangsa didapati hilang dari kandang baru-baru ini. Tekanan berterusan ini turut menyaksikan cubaan serangan fizikal terhadap mangsa ketika cuba mempertahankan hak dan ternakannya.
Adik kepada mangsa yang hadir dalam sidang media tersebut gagal menahan sebak menceritakan keperitan abangnya yang merupakan seorang pencari rezeki yang jujur dan pendiam, kini terpaksa berdepan tekanan mental sehingga hilang punca pendapatan.
Keluarga mangsa menegaskan bahawa mereka tidak berniat untuk menentang pengosongan tanah secara kekerasan, sebaliknya hanya menuntut sedikit pampasan ehsan daripada pihak pemaju atau pemilik tanah bagi membolehkan mereka berpindah ke lokasi baharu.
Susulan itu, SBKN memberi tempoh selama lima hari kepada pihak pemaju untuk tampil bersemuka dan menyelesaikan pertikaian ini secara profesional dan berhemah demi keadilan mangsa.
Dato’ Dr. Kalaivanar turut menegaskan bahawa satu surat rasmi akan dihantar segera kepada Ketua Polis Negeri Selangor, Ketua Polis Negeri Sembilan, serta Ketua Polis Daerah (OCPD) berkaitan agar siasatan teliti di bawah seksyen ugutan jenayah dapat dijalankan demi menjamin keselamatan mangsa dan keluarganya.
#BeritaAAC #BelaPenternak #IsuTanahSepang #HentikanUgutan #PDRMPrihatin