SHAH ALAM – Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris Malaysia) kini melangkah ke fasa baharu dengan menumpukan usaha memperkasa dan menguasai sektor ekonomi orang Melayu, bukan sahaja di peringkat domestik malah sehingga ke peringkat antarabangsa.

Presiden Pewaris Malaysia, Dato’ Azha Hj. Mustaffa menegaskan bahawa kekuatan sebenar orang Melayu terletak kepada perpaduan dan keupayaan untuk bangkit berdikari dalam bidang keusahawanan. Menurut beliau, kepimpinan pertubuhan komited membina platform perniagaan kukuh demi membela nasib ahli di peringkat akar umbi.
Sebagai bukti komitmen, Pewaris Malaysia telah melebarkan sayap perniagaan mereka ke luar negara termasuk di Indonesia dan Filipina dengan membuka pasaran bagi produk kesihatan.
Di dalam negara pula, barisan kepimpinan tertinggi pertubuhan berjaya menggerakkan pengoperasian sebuah kilang di Subang, Selangor. Hasil perolehan daripada perniagaan tersebut disalurkan kembali dalam bentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi membiayai program kebajikan serta bantuan kemanusiaan pertubuhan.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Dato’ Azha menyatakan bahawa Pewaris Malaysia kini dalam proses merangka ‘Tabung Kafalah’ atau tabung jaminan khas bagi menyokong modal perniagaan anak-anak Pewaris yang berminat menceburi bidang perniagaan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan atas sumbangan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi menjayakan aktiviti ekonomi dan program pertubuhan.

Peruntukan tersebut diserahkan kepada jawatankuasa khas ekonomi Pewaris Malaysia bagi merangka strategi berimpak tinggi agar manfaatnya sampai terus kepada komuniti akar umbi.

Mengimbau sejarah penubuhan, Pengasas Tunggak Pewaris Malaysia, Dato’ Paduka Hj. Ab Malek Hj. Ranting mendedahkan bahawa pertubuhan ini diasaskan atas semangat perjuangan bangsa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu selepas mendapat perkenan melalui ‘surat kuning’ daripada empat istana sebelum pendaftarannya diluluskan.

Sejak mula ditubuhkan pada tahun 2009, Pewaris Malaysia telah giat menyertai pelbagai misi kemanusiaan termasuk bantuan banjir seluruh negara serta misi antarabangsa Flotilla ke Gaza, Palestin.

Mempunyai kekuatan hampir 30,000 ahli di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, pertubuhan ini optimis untuk terus menjadi benteng membela jati diri Melayu, memartabatkan bahasa kebangsaan dan memelihara kesucian Islam menerusi pemerkasaan ekonomi yang mampan.
#BeritaAAC #PewarisMalaysia #EkonomiMelayu #BangkitUsahawan #IsuSemasa