KUALA LUMPUR – Penganalisis politik, Dr. Azam Rauzan menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap pelbagai kerenah dan ‘songeh’ birokrasi berhubung pelaksanaan titah tahanan rumah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau terlebih dahulu merakamkan sembah junjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas titah pengampunan tersebut, yang disifatkan mencerminkan kebijaksanaan baginda dalam memelihara maruah Najib.
Menurut Dr. Azam, keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong wajib dihormati dan dipatuhi oleh setiap rakyat Malaysia selaras dengan prinsip Rukun Negara, tanpa perlu wujud suara-suara sumbang atau penentangan halus dari pihak dalaman.
Beliau secara terbuka menempelak sikap segelintir pemimpin politik, khususnya daripada DAP, yang didakwanya cuba memprotes titah tersebut serta gagal mengotakan janji politik mereka untuk meletakkan jawatan sekiranya pengampunan diberikan.
”DAP yang berjanji, bukan rakyat. Tetapi sekarang bila keputusan sudah keluar, banyak pula alasan dan kerenah seolah-olah cuba melengah-lengahkan pelaksanaan titah diraja itu,” tegas beliau.
Mengulas perbandingan layanan politik, Dr. Azam membangkitkan senario ketika Perdana Menteri ke-10 (PMX) menerima pengampunan penuh pada zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu, yang didakwanya berjalan pantas tanpa sebarang kerenah.
Menyentuh isu denda RM50 juta yang dikenakan ke atas bekas Ahli Parlimen Pekan itu, beliau optimis jumlah berkenaan mampu diselesaikan dalam masa terdekat oleh pihak yang bersimpati dengan nasib Najib.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa pasukan peguam Datuk Seri Najib memfailkan injunksi mahkamah bagi melindungi ruang privasi keluarganya daripada gangguan berterusan pihak media serta pihak lawan.
Mengulas kesan politik semasa, Dr. Azam meramalkan isu ini akan memberi tamparan hebat kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung.
Beliau mendakwa Barisan Nasional (BN) berpotensi besar untuk menyapu bersih sekurang-kurangnya 28 kerusi, sekali gus menjadi petanda awal kejatuhan gabungan pemerintah menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
”Dari Sungai Buloh akan ke Sungai Buloh semula. Kifarah Allah itu benar terhadap sesiapa yang menganiaya orang lain,” katanya mengakhiri ulasan.
#BeritaAAC #NajibRazak #TitahAgong #PRNMelaka #PolitikMalaysia