KUALA LUMPUR, 23 September 2026 – Wanita UMNO Malaysia menyuarakan rasa terkilan berikutan perkembangan status tahanan rumah bekas Perdana Menteri, yang masih terikat dengan syarat ketat termasuk bayaran bernilai RM50 juta.
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Rosni Zahari berkata, pihaknya bersama ahli parti dan masyarakat umum kini sedang berhempas-pulas menggerakkan inisiatif mengumpul dana bagi memenuhi tuntutan tersebut.
Menurut beliau, usaha mengumpul sumbangan berkenaan bukan sahaja digerakkan oleh ahli UMNO, malah turut menerima sokongan daripada orang awam yang bersimpati dengan nasib ‘Bossku’.
”Saya berasa sangat terkilan walaupun Bossku telah diberi tahanan rumah, tetapi ada pula bersyarat yang mana kena bayar RM50 juta. Sekarang ini kita tengah ‘struggle’, ahli UMNO sendiri dan rakyat yang bukan ahli pun tengah menyumbang kepada tabung untuk Bossku,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyeru seluruh penyokong agar terus bertenang dan bersabar sementara segala proses serta keputusan rasmi diselesaikan.
Beliau menegaskan bahawa pihak parti sentiasa mengutamakan yang terbaik untuk bekas pemimpin negara itu dan menanti detik pelaksanaan yang sewajarnya.
Menjelaskan mekanisme kutipan dana tersebut, Dato’ Rosni mendedahkan bahawa Wanita UMNO mempunyai saluran tabung tersendiri yang bergerak secara berstruktur dari peringkat akar umbi.
Proses kutipan dimulakan daripada ahli di peringkat cawangan sebelum diselaraskan oleh Wanita Bahagian.
Seterusnya, dana yang dikumpul di peringkat bahagian akan diserahkan kepada Wanita Negeri sebelum disalurkan terus ke Wanita Pusat dan akhirnya ke pihak UMNO Malaysia.
Gerakan kutipan dana tersebut kini sedang giat dijalankan di seluruh negara dan jumlah rasmi sumbangan dijangka akan dimaklumkan sebaik sahaja proses pengumpulan selesai.
#BeritaAAC #Bossku #WanitaUMNO #DatoRosniZahari #PolitikMalaysia