
KUALA LUMPUR, 23 September 2026 – Isu jenayah seksual membabitkan kes bapa tiri merogol anak tiri sememangnya mencetuskan kemarahan masyarakat. Biarpun pelakunya sering berdepan hukuman berat di mahkamah, insiden ‘haruan makan anak’ ini dilihat masih membimbangkan dan berleluasa.


Terpanggil untuk membendung isu ini, penerbit tersohor Kolonel Bersekutu (PA) Dato’ A. Aida tampil menghasilkan sebuah karya berani berjudul Bisikan Nafsu, terbitan bersama Hello Production Sdn. Bhd., A. Aida Production serta Mache Allstar United.


Menurut A. Aida, naskhah arahan Riza Baharudin itu bukan sahaja mengetengahkan isu jenayah seksual dalam keluarga, malah menonjolkan erti pengorbanan dan kesetiaan cinta sejati yang amat jarang diangkat dalam karya tempatan.


“Objektif utama filem ini adalah memberi kesedaran kepada masyarakat, khususnya golongan ibu yang berkahwin semula agar sentiasa berwaspada dan peka terhadap keselamatan anak perempuan di rumah,” ujar A. Aida yang turut bertindak sebagai penerbit eksekutif dan penulis skrip.
Bisikan Nafsu mengupas kisah hitam Nadia yang berdepan trauma teruk selepas dirogol berulang kali oleh bapa tirinya, UR—seorang figura bergelar ‘Ustaz Romantik’ yang hakikatnya berselindung di sebalik imej alim dan berjiwa kasanova.
Lebih menyayat hati, penderitaan dan tekanan emosi itu memaksa Nadia memutuskan ikatan pertunangan selain berulang kali mencuba untuk menamatkan riwayat hidupnya sendiri akibat kemurungan melampau.
Namun di sebalik kegelapan itu, tunangnya, Arisz, tetap teguh berdiri di sisi Nadia dengan memilih untuk terus menyiasat misteri perubahan sikap mangsa serta menerimanya dengan penuh reda tanpa berpaling tadah.
Menariknya, naskhah ini turut menandakan langkah sulung anak kepada A. Aida iaitu Azeva yang menggalas tanggungjawab berganda sebagai penerbit di bawah syarikat baharunya, Hello Production, di samping memegang watak utama sebagai Nadia.
Diterajui gandingan mantap Azeva bersama Aniq Suhair (Arisz) dan Zul Huzaimy (UR), filem ini turut dibarisi pelakon hebat seperti Aleza Shadan, Watie Sadali, Raja Azmi, Ezzaty Abdullah, Aishah Husna, Lan Siro serta penampilan istimewa Ameng Spring dan Siti Khadijah.

Sementara itu, pengarah Riza Baharudin mengakui teruja menggalas tugas sulungnya mengarah filem layar perak, meskipun berdepan cabaran babak aksi lasak termasuk terjunan di kawasan air terjun setinggi enam tingkat dan penggambaran menyelam di dasar air.
Rakan penerbit dari Mache Allstar United, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Arisz Ab. Rahman, optimis gandingan mereka mampu memberi impak besar kerana filem ini membawakan mesej sosial yang amat kritikal buat masyarakat masa kini.

Bagi penonton yang ingin menyaksikan kebenaran di sebalik topeng nafsu dan kekuatan sebuah kesetiaan, jangan lepaskan peluang menonton Bisikan Nafsu di pawagam seluruh negara mulai 1 Oktober 2026.
#BisikanNafsu #BeritaAAC #AAidaProduction #FilemMalaysia #TrendingKini