KUALA LUMPUR, 12 September 2022 – YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob hari ini melancarkan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0).            

DBN 2.0 ini akan menambah baik strategi-strategi yang terkandung dalam Dasar Bioteknologi Negara terdahulu selaras dengan perkembangan trend di peringkat global selain memastikan bidang bioteknologi berkembang pesat dan maju selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030. 

YAB Dato’ Sri Ismail Sabri berkata, “Dasar ini juga akan memperkukuhkan lagi ekosistem bioteknologi sedia ada serta menjadi katalis dalam menyelesaikan cabaran negara berkaitan sekuriti makanan, pengurusan pandemik dan krisis perubahan iklim menerusi kaedah penyelesaian bioteknologi tempatan.”  

DBN 2.0 akan memberi tumpuan kepada tiga (3) tunjang utama iaitu Bioteknologi Pertanian dan Jaminan Makanan, Bioteknologi Penjagaan Kesihatan dan Kesejahteraan serta Bioteknologi Perindustrian dan Ekonomi Kitaran. 

YAB Dato Sri Ismail Sabri menggariskan lima (5) sasaran utama DBN 2.0 iaitu: 

i. 30 peratus syarikat Bionexus ke peringkat global dan 70 peratus syarikat Bionexus peringkat tempatan kekal aktif;
ii. Sokongan kepada syarikat-syarikat Bionexus yang berpotensi untuk menjadi syarikat berstatus unicorn. Kerajaan dalam konteks ini mensasarkan tiga (3) syarikat bio-inovasi berstatus unicorn menjelang 2030;
iii. Pemerkasaan institut dan institusi serta tokoh penyelidik bioteknologi tempatan bertaraf dunia;
iv. Lima (5) peratus KDNK negara oleh syarikat-syarikat bioteknologi; dan
v. 80 peratus graduan bioteknologi yang diiktiraf melalui program pentauliahan mikro dan 20 peratus graduan bioteknologi dalam program pasca siswazah. 

YAB Perdana Menteri turut menggesa peranan aktif semua pihak bagi menjayakan      DBN 2.0 termasuk peranan Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn. Bhd. (Bioeconomy Corporation). Bioeconomy Corporation yang bertindak sebagai pemudah cara industri perlu menambah baik Bionexus Bill of Guarantees yang merangkumi keistimewaan status Bionexus agar lebih berdaya saing di peringkat global dan insentif yang ditawarkan juga perlu lebih menarik. 

National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) juga perlu memperkukuhkan fasiliti makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan perkhidmatan yang mendapat akreditasi di peringkat antarabangsa bagi meningkatkan kolaborasi dengan institut penyelidikan serta universiti tempatan dan antarabangsa, serta pemain-pemain industri. 

Selain itu, syarikat modal teroka (VC) tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  digalakkan untuk melabur dalam syarikat bioteknologi tempatan bagi memastikan pertumbuhan dan pembangunan bioteknologi negara dapat menembusi pasaran antarabangsa. Pada masa yang sama, bank-bank komersial turut diminta agar memudahcara pembiayaan kepada syarikat-syarikat bioteknologi tempatan yang berdaya saing termasuk mengambil kira nilai hak harta intelek sebagai aset yang bernilai. 

Sebelum ini, Dasar Bioteknologi Negara yang dilancarkan pada tahun 2005 oleh mantan Perdana Menteri, YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi, telah menggariskan sembilan (9) teras utama dalam membangunkan bidang bioteknologi sebagai enjin pertumbuhan ekonomi baharu negara. 

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, sejak pelaksanaan Dasar Bioteknologi Negara pada tahun 2005, sektor bioteknologi memainkan peranan penting dalam pembangunan sosio-ekonomi. Sebanyak 258 syarikat berstatus Bionexus telah dilahirkan sehingga September 2021. 

“Menurut kajian impak Dasar Bioteknologi Negara, pecahannya terdiri daripada 144 syarikat bioteknologi pertanian, 72 syarikat bioteknologi perubatan dan 42 syarikat bioteknologi perindustrian. Malah, 15 daripada syarikat berstatus Bionexus ini telah tersenarai di bursa saham serantau dan utama termasuk di New York Stock Exchange melibatkan syarikat Iqvia Holdings Inc. yang menjalankan penyelidikan saintifik dan perkhidmatan pembangunan dalam bidang bioteknologi kesihatan,” kata YB Dato’ Sri Dr Adham Baba. 

Tambah beliau, “Selain itu, syarikat All Cosmos Industries Sdn. Bhd. pula menerokai bidang bioteknologi pertanian yang terlibat dalam penghasilan baja berasaskan mikroorganisma berskala besar yang dieksport ke negara Filipina, Indonesia dan Vietnam. Syarikat ini telah berjaya disenaraikan di Taiwan Stock Exchange.” 

Berdasarkan Global Biotechnology Report yang dikeluarkan oleh IBIS World, industri bioteknologi global pada tahun 2022 adalah bernilai USD$307.5 bilion. Ini merangkumi subsektor teknologi kesihatan, pertanian, alam sekitar, perindustrian, kesihatan haiwan dan informatik.  Pada majlis yang sama, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri turut mengumumkan Penubuhan Gabungan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Malaysia (Malaysia Biotechnology Alliance of Research Centre). Gabungan ini melibatkan semua institusi dan institut penyelidikan berasaskan bioteknologi yang mengendalikan dan mengemudi penyelidikan berdasarkan permintaan industri dan kepentingan strategik negara. 

“Bagi mendepani perkembangan bioteknologi yang pesat, melalui gabungan ini, akan diwujudkan satu badan penasihat pakar bioteknologi yang boleh menggerakkan agenda negara dengan lebih berfokus dan berasaskan kekuatan negara seperti mendalami kekayaan biodiversiti negara yang boleh memperkasakan tiga (3) sektor bioteknologi seperti yang termaktub dalam DBN 2.0,” kata YAB Perdana Menteri. 

Menurutnya , gabungan ini akan berperanan untuk m enentukan hala tuju strategik dan memperkasakan ekosistem bioteknologi berorientasikan kepada pulangan nilai (RoV), kebaikan awam dan kesejahteraan masyarakat.

Ia juga akan menyokong impak, pasaran dan permintaan yang didorong R&D bioteknologi yang memfokuskan kepada pembangunan eksperimen . Pada masa yang sama Inovasi (MOSTI) menerusi, Kementerian Sains, Teknologi dan Malaysia Science Endowment akan bekerjasama dengan pemain industri, badan tempatan dan antarabangsa untuk mewujudkan dana alternatif bioteknologi. Kerajaan menyokong penuh Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dan yakin dasar ini akan memberi impak positif kepada Keluarga Malaysia dalam memacu sosioekonomi negara ke arah kualiti hidup yang lebih baik berasaskan kepakaran dan inovasi tempatan.

Leave a Reply