22 DISEMBER 2021: Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) telah membuat laporan mengenai salah guna kuasa oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sendiri di Ibu Pejabat SPRM
Putrajaya dan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur pada hari ini.
Pada 19 November 2021, negara terkejut dengan kenyataan rasmi SPRM bahawa wang berkaitan 1MDB berjumlah RM65 juta dalam akaun bank Datuk Tawfik Ayman yang merupakan suami Tan Sri Zeti Aziz
telah dikembalikan oleh kerajaan Singapura. Begitu juga pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd (SRC), Nik Faisal Ariff Kamil berjumlah RM3.6 juta.

Beberapa hari kemudian, Menteri Undang-Undang Dato’ Sri Wan Junaidi telah mengesahkan dalam Dewan Rakyat bahawa pihak polis sudah mula menyiasat penerimaan wang oleh Datuk Tawfik Ayman dari Jho Low.

Mengikut laporan The Edge, Datuk Tawfik Ayman telah mula terlibat dan menerima wang dari Jho Low berjumlah sebanyak RM700 juta termasuk US$153 juta dari akaun bank Good Star yang menerima
sebanyak US$700 juta dari 1MDB.
Lagi mengejutkan ialah kenyataan SPRM bertarikh 19 November itu juga menyatakan dana RM65 juta yang dikembalikan oleh kerajaan Singapura adalah dari akaun bank syarikat Cutting Edge Industries Sdn Bhd yang dimilik bersama oleh Datuk Tawfik Ayman dengan seorang warga Singapura bernama Samuel
Goh.

Pada tahun 2016, Samuel Goh telah mengaku di mahkamah Singapura bahawa dia telah dibayar sebanyak US$4 juta untuk membuka beberapa syarikat luar pesisir pantai ataupun off-shore company bagi
menerima pindahan wang bernilai berbilion-bilion Ringgit dari 1MDB termasuk syarikat Aabar Investments BVI.

Ini menimbulkan persoalan yang amat besar sebab rakan niaga Datuk Tawfik Ayman adalah pengasas syarikat-syarikat luar pesisir pantai yang menerima dan menggelapkan dana dari 1MDB manakala isteri Datuk Tawfik Ayman pula merupakan Gabenor Bank Negara Malaysia pada masa itu yang meluluskan pindahan wang dari 1MDB ke syarikat luar negara.

Kemudiannya, Tan Sri Tommy Thomas juga telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan dia sudah menyedarinya semasa dia menjawat sebagai Peguam Negara bahawa Tan Sri Zeti dan suaminya telah memainkan peranan memudahkan Jho Low dalam skandal 1MDB.

Namun Tan Sri Tommy berkata dia tidak sempat mengambil tindakan terhadap Tan Sri Zeti atau suaminya dengan alasan pihak SPRM belum selesaikan siasatan.

Pada 5 Disember 2021 sebuah dokumen 14 muka surat telah dilampirkan dalam artikel portal Malaysia Today. Dokumen ini dikatakan adalah dari siasatan SPRM berkenaan 1MDB, Ambank, Tan Sri Zeti Aziz
dan Tan Sri Nor Mohd Yakcop.

Dokumen tersebut menyatakan Tan Sri Nor Mohd Yakcop telah menerima dana berkaitan 1MDB yang disembunyikan dalam akaun proksi di Singapura. Mengikut laporan media, dana 1MDB yang diterima
oleh Tan Sri Nor Mohd Yakcop dikatakan berjumlah RM85 juta.

Memandangkan Tan Sri Zeti dan Tan Sri Nor Mohd Yakcop memainkan peranan yang amat penting dalam kes SRC Dato’ Sri Najib Tun Razak serta disenaraikan sebagai saksi-saksi utama pendakwaan, rakyat mahu pengesahan sekiranya dokumen 14 muka surat tersebut adalah dari siasatan SPRM.

Kita sedia maklum bahawa Tan Sri Zeti Aziz yang menasihatkan Dato’ Sri Najib Razak untuk membuka akaun atas nama peribadi beliau bagi menerima sumbangan dana dan juga telah diarahkan oleh Dato’ Sri Najib Razak untuk memantau sebarang kemasukan dana dalam akaun bank tersebut. Di sini didapati Tan Sri Zeti Aziztelah menggunakan kedudukan dan melakukan kesalahan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Manakala ianya Tan Sri Nor Mohd Yakcop selaku Menteri Ekonomi masa itu yang mengesyorkan penubuhan SRC serta membentangkan kertas Kabinet untuk meluluskan jaminan kerajaan supaya syarikat SRC boleh meminjam dana sebanyak RM4 bilion dari KWAP. Sehubungan itu, beliau juga telah
menggunakan kedudukan dan melakukan kesalahan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pendedahan-pendedahan ini semua jelas menunjukkan bahawa Pejabat Peguam Negara, pihak pendakwaan dan agensi-agensi siasatan utama negara telah mengetahui salah laku Tan Sri Zeti Aziz dan
Tan Sri Nor Mohd Yakcop sejak tahun 2019.
Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia telah membuat laporan SPRM dan laporan Polis hari ini agar pihak-pihak berkuasa boleh menyiasat jika wujud sebarang usaha oleh pihak-pihak tertentu dalam kerajaan PH dahulu untuk menyorokkan salah laku kedua-dua tokoh di atas supaya ianya tidak dapat digunakan oleh Dato’ Sri Najib Razak bagi tujuan pembelaan kes-kes mahkamah beliau.

Leave a Reply