Oleh: Nasrul Ali Hasan bin Abdul Latif
Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia
Baru berapa hari Perdana Menteri dari Pakatan Harapan mengangkat sumpah, Pertubuhan Dong Zhong sudah tunjuk belang menuntut pengiktirafan UEC dan peruntukan kekal buat aliran berkenaan.
Walaupun kerajaan di bentuk adalah kerajaan Perpaduan, ia tak bermakna kerajaan perlu tunduk dan sewenangnya beri autonomi mengiktiraf sijil pendidikan dari China dan Taiwan yang aspek piawaian, silibus dan bahasa jelas tidak selari dengan status quo sistem pendidikan yang diamalkan di Malaysia.
Perpaduan yang cuba diperkenal sepatutnya bukan semata-mata di peringkat Parlimen, ia patut diterjemah kepada semua peringkat bagi menjamin keharmonian. Ia bermula dari bangku sekolah. Perpaduan dan kesatuan yang dipupuk dari sekolah satu aliran mampu memberi impak positif dalam membentuk generasi yang sayangkan tanah air serta saling hormat-menghormati sesama etnik.
Wira PUTRA sekali lagi menegaskan dan menggesa keutamaan Menteri Pendidikan yang bakal dilantik bagi kerajaan Perpaduan dalam bidang pendidikan adalah menyerap semua sekolah jenis kebangsaan yang diletakkan di bawah sistem pendidikan kebangsaan untuk dijadikan sekolah perpaduan atau satu aliran.
Jika ia bukan lagi ditakrif atau diletakkan di bawah sistem pendidikan kebangsaan iaitu di kategorikan sebagai pendidikan swasta, pengiktirafan dan sebarang dana kerajaan tidak wajar diberikan kepada sekolah vernakular ini. Pemerkasaan Sijil Pelajaran Malaysia di bawah Dasar Pendidikan Kebangsaan yang perlu diutamakan dan tolak pengiktirafan Sijil UEC yang akan merenggangkan semangat perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia.