Oleh : Johari Yazid
Selaku Bendahari Pemuda UMNO Malaysia, dengan ikhlas dan jujur, saya melihat sejak selepas PRU15, ahli-ahli parti terutamanya dikalangan ahli-ahli Pemuda hilang arah dan halatuju.
Senario politik negara menjadikan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO berada pada keadaan yang amat dilema.
Walaupun hanya memenangi 30 kerusi Parlimen dan secara arithmetiknya BN tidak layak menjadi Kerajaan walau dengan apa cara sekalipun, tetapi atas sikap angkuh dan sombong Pengerusi Perikatan Nasional yang tidak mahu bergabung dengan Pakatan Harapan bagi membentuk Kerajaan, maka Duli Yang Maha Mulia YDPA telah menitahkan agar Kerajaan Perpaduan diwujudkan bersama-sama dengan parti yang ingin memastikan politik negara stabil dan makmur.
Kuasa Allah SWT, tidak ada sesiapa yang mampu menafikannya.
Kini, BN yang ditunjangi UMNO telah menjadi sebahagian dari Kerajaan dan polemik seterusnya pula akan berkisar kepada pembentukan kabinet negara.
Soal jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), siapa yg sepatutnya dilantik dari kalangan pemimpin atasan UMNO? Ramai yang sudah mula berteka-teki, ahli UMNO dan rakyat sudah mula membuat tafsiran dan pelbagai andaian siapa gerangan yang akan dilantik oleh Perdana Menteri (PM) bagi bergandingan dengan beliau mengisi jawatan TPM.
Pendapat saya, parti perlu kembali kepada displin dan hierakinya untuk menstabilkan parti. Kita harus belajar dari situasi lalu dimana PM yang dilantik bukannya Presiden parti dan secara tidak langsung mengundang pelbagai masalah dalaman parti.
Kita tidak boleh menipu diri kita sendiri apabila wujudnya kem Presiden dan kem PM menuju ke PRU15. Tidak dinafikan situasi ini juga adalah salah satu faktor penyumbang kepada kekalahan BN. Terimalah hakikat ini dengan hati yang terbuka.
Melihat kepada respon dan entri rakyat di media sosial, tidak dinafikan majoriti rakyat menyatakan bahawa Presiden UMNO tidak layak untuk menjawat jawatan TPM atas beberapa faktor yang umum sudah ketahui sebabnya.
Tetapi saya perlu ingatkan kepada semua bahawa beliau masih Presiden UMNO yang sah sehingga tempoh berakhir pada pemilihan akan datang iaitu selewat-lewatnya pada 18.5.2023 (6 bulan selepas PRU15). Beliau juga telah menang pada PRU15 dan diangkat sebagai Ahli Parlimen.
Desakan dalaman parti yang meminta YB Presiden meletakkan jawatan, bagi saya bukanlah jalan penyelesaian yang mutlak. Saya masih berpendapat bahawa hierarki parti perlu dihormati dan perlu diterjemahkan.
Kepada ahli-ahli parti, apabila pintu demokrasi parti dibuka seluas-luasnya untuk memilih kepimpinan baru disemua peringkat parti dalam tempoh 6 bulan dari 19.11.2022, maka setiap ahli parti mempunyai hak untuk memilih sesiapa sahaja untuk menerajui parti bagi meneruskan perjuangan ini.
Persoalannya, kenapa kita perlu kalut?
Sebagai seorang pemimpin muda, saya diajar untuk sentiasa mendokong dan menjunjung institusi Presiden selagi mana ianya masih berpaksikan kepada prinsip dan perjuangan parti.
Dalam mendepani arus politik yg penuh pancaroba ini, jangan disebabkan pemikiran jangka pendek dan emosi semata-mata, kita mengundang jalan yang menjerumus kita ke kancah yang lebih teruk dan akhirnya menyebabkan kita tidak mampu bangkit pada PRU16 akan datang.
Akhir kata, ini bukan masa untuk menuding jari atau mencari silap atas kekalahan dan prestasi buruk parti di dalam PRU15. Kini masa untuk kita mencari solusi bagi survival parti keramat ini, itu yang lebih utama dan lebih penting.
Solidariti bersama Presiden adalah amat-amat dituntut dan diperlukan dalam saat-saat penting ini.
Laungan slogan Kestabilan dan Kemakmuran masih terngiang-ngiang dan atas dasar itulah kita perlu buktikan bahawa kita adalah sebuah parti yang cukup matang yang sentiasa menitikberatkan dan mengutamakan kestabilan negara demi kemakmuran rakyat.
Sekian, terima kasih.
Johari Yazid
Bendahari
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merangkap
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Cheras
28.11.2022