Oleh : Mohd Azrul Abu Hassan
Kita rakyat Malaysia telah seminggu lebih menunggu siapakah yang bakal diangkat menjadi sebahagian daripada kabinet ini.
Buat pertama kali kabinet ini akan menyaksikan Barisan Nasional bersama-sama dengan Pakatan Harapan membentuk jemaah kabinet.
Pilihan ahli-ahli jemaah menteri seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan adalah prerogatif Perdana Menteri.
Namun, kita tahu ramai yang melobi untuk jadi ahli-ahli jemaah Menteri. Tidak kurang juga Raja-raja sudah tentu akan memberi cadangan-cadangan.
Rakyat tidak naif dan kini sudah celik dengan hakikat ini di mana Raja-raja Melayu juga akan memberi cadangan khususnya Yang di-Pertuan Agong.
Mungkin sebab inilah pengumuman kabinet baru ditangguh sehingga hari ini.
Jika kerajaan dipilih melalui ahli-ahli parlimen bergabung (tebuk atap) dan bukan dengan cara pilihanraya, kita faham jika mereka yang tidak dipilih rakyat pun naik menjadi Menteri.
Namun, sepatutnya hanya mereka yang menang sahaja di dalam pilihanraya yang sebaik-baiknya dilantik menjadi sebahagian daripada jemaah Menteri.
Nama-nama seperti Khairy Jamaluddin , Tengku Zafrul , Dr Maszlee Malik , Mahadzir Khalid, Mujahid Yusof Rawa dan Nurul Izzah adalah nama yang besar namun telah ditolak oleh rakyat. Jadi, jika YDPA atau Raja-raja mahu mencadangkan apa-apa nama pun, biarlah daripada kalangan mereka yang telah dipilih oleh rakyat melalui Pilihanraya.
Ada sebab kenapa nama-nama ini ditolak rakyat. Jadi, negara demokrasi berparlimen, Raja berperlembagaan ini harus mengambil kira dan hormat kepada kemahuan rakyat yang telah diabsahkan melalui pilihanraya.
Jika mereka diangkat juga menjadi senator sejurus selepas pilihanraya dan diangkat pula menjadi Menteri penuh, amatlah malang kepada sistem demokrasi yang kita junjung ini.
Lebih baik tidak perlu keluar mengundi jika kemahuan rakyat dinafikan.