Oleh : Mohd Puad Zarkashi
Selesai episod yang mendebarkan negara. Barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan sudah diumumkan malam tadi
Dengan jumlah 28 menteri iaitu saiz yang agak kecil, amat diyakini semua parti yang terlibat berpuas hati dengan pembahagian yang rumit tetapi melepasi politik tikam belakang.
Tidak perlu jumlah Kabinet yang besar dan tidak perlu jawatan jaga hati seperti special envoy, bertaraf menteri atau menteri kanan. Itu semua kosmetik yang dibuat oleh Muhyiddin.
Ini barisan kabinet berasaskan rundingan, saling menghormati terutamanya hiraki parti. Reaksi awal majoriti Ketua Bahagian UMNO di grup whatsapp ialah “puas hati”.
Ia jauh beza dengan cara Muhyiddin bila membentuk kabinetnya. Tidak ada rundingan, tidak menghormati hiraki parti dan ada niat melemahkan rakan kongsi.
Itu pengalaman pahit BN bersama PN. Baik semasa Muhyiddin tubuh kabinet dan PRN Sabah. Tidak ada setiakawan. Calon BN dilawan oleh calon bebas yang ditaja oleh PN.
Muhyiddin silap. Niat jahat itu makan diri. UMNO cuba dipecah melalui “divide and rule”. Wujud MP UMNO pro PN dan MP UMNO setia parti. Akibatnya Muhyiddin hilang kuasa.
Kali ini bila rundingan dibuat fokusnya ialah jangka hayat kerajaan ini mesti sampai habis penggal. Tidak akan ada tekan butang dan tidak ada tukar PM sampai tiga kali.
UMNO yang kukuh menguntungkan Kabinet baru ini. Kerajaan yang stabil menguntungkan rakyat dan negara. Tidak salah kita mencuba pendekatan baru ini walau ada yang was was.
Pengajaran juga kepada MP BN yang tidak serik serik membelakangkan parti. Tidak ada yang tersenarai. Sebelum ini ada yang tidak dicalonkan. Bersetiakawanlah.
Walau dimomokkan dengan persepsi “kluster mahkamah”, menjadi tanggungjawab kerajaan perpaduan ini membuktikan ia jujur anti rasuah dan bekerjasama atas prinsip “trust”. Teruskan