Oleh : Tun Puteh Wanti
Ibu bapalah yang mencorak nilai dalam diri anak-anak. Zaman dahulu ibu bapa berpesan,
“Anak-anak jika pergi ke rumah orang pada Hari Raya, salam dengan tuan rumah mohon maaf. Hari Raya untuk kita ziarahi orang, Allah dan Nabi suka kita ziarah orang. Jangan meminta-minta duit Raya, kalau orang jemput makan sudah seribu rahmat,” kata ibu bapa.
Anak sudah dididik Hari Raya adalah hari menziarah, erat silaturahim. Tetapi zaman sekarang, ibu bapa pula bertanya “berapa duit dapat dan anak siapa paling banyak dapat duit Raya?
Nilai perbezaan ini kadang-kadang boleh menghakis nilai sebenar budi pekerti hidup bermasyarakat, kanak-kanak sudah tahu nilai ‘material’ sejak kecil.
Jadi tidak hairanlah, kerana harta dan wang ringgit ada yang terputus persahabatan, terputus saudara, terputus nilai kekeluargaan dan masyarakat.
Beza dengan generasi terdahulu di mana senang sama dirasa, susah sama dipikul kerana mereka tahu kita semua ‘menumpang’ dan segalanya adalah ‘pinjaman’, tiada yang kekal kecuali Tuhan Yang Esa.