PUTRAJAYA, 9 Januari 2023 – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa & Wilayah Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL).

Jawatankuasa ini diadakan berlanjutan daripada keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri yang telah mengarahkan penubuhan Jawatankuasa ini.

Mesyuarat telah membincangkan mengenai pemantauan dan pelaksanaan dasar di peringkat Majlis Tertinggi NACCOL.

Kertas-kertas yang dibentangkan terdiri dari:

• Pelan Tindakan bagi Menjamin Kestabilan Bekalan Ayam dan Telur Ayam serta Kecekapan Pemasaran dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan;

• Pelan Tindakan bagi Kaedah Pelaksanaan Harga Dua Peringkat (Two-Tier Pricing) Minyak Sawit untuk Pasaran Domestik oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi;

• Status Penguatkuasaan Ayam, Telur Ayam dan Minyak Masak oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup; dan

• Strategi Menangani Isu Kos Sara Hidup Menerusi Aspek Persaingan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Syor-syor berikut telah dibuat:

• Supaya dasar kawalan harga dan subsidi ayam diteruskan sementara satu dasar berkaitan mekanisme bersasar dimuktamadkan;

• Meneliti mekanisme harga dua peringkat yang melibatkan hanya 1.6% daripada keseluruhan pengeluaran minyak sawit mentah bagi kemasan botol dan 8.4% keluaran untuk kemasan berpaket. Manakala 90% pengeluaran minyak sawit mentah adalah bagi tujuan export.

• Tindakan penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Ops ATM (ayam, telur dan minyak masak) dan Ops Anti Sorok telah melibatkan 814,718 pemeriksaan premis serta 31,009 penyamaran. Selain daripada itu, Ops Bersepadu bersama-sama agensi penguatkuasaan lain seperti Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan lain-lain telah melakukan 225 Sekatan Jalan Raya (SJR) dan 357 operasi bersepadu;

• Supaya isu kos sara hidup ditangani dengan menggunakan polisi dan perundangan persaingan dalam memastikan pasaran serta industri yang sihat dan adil bagi melindungi kepentingan pengguna dari ancaman kartel dan monopoli. Justeru, agenda memperkasakan agenda persaingan dan pasaran sihat dan adil turut diberi perhatian termasuklah pengukuhan MyCC melalui pindaan Akta Persaingan 2010 dalam sesi Parlimen hendaklah disegerakan di sekitar pertengahan tahun ini.

• Memperbanyakkan Jualan Terus dari Ladang oleh FAMA. Dijangka sebanyak 10,000 kali jualan di 1,793 premis jualan di seluruh negara. Harga yang akan ditawarkan juga dijangka lebih rendah daripada harga pasaran.

• Koordinasi rentas agensi perlu dilaksanakan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi bagi meneliti penambahbaikan mekanisme pelaksanaan harga dua peringkat agar sebarang keputusan tidak memberi implikasi yang besar kepada pihak terlibat samada di peringkat industri mahupun pengguna;

• Data-data daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Perangkaan Malaysia perlu digunakan bagi mengenal pasti segmen pasaran agar jualan tersebut lebih efektif dan memberi manfaat kepada golongan sasar; dan

• Supaya FAMA dinaiktarafkan sebagai Agensi Keterjaminan dan Sekuriti Makanan dengan objektif memastikan pengeluaran dan pengedaran makanan utama terpilih untuk negara dibuat secara konsisten, cekap dan cukup.

Leave a Reply