Ketua Wirawati PUTRA Malaysia, Puan Nurhafizah Jamalludin menyarankan kerajaan agar penggunaan teks perlembagaan dalam Bahasa Melayu dapat dimuktamadkan dengan kadar segera.

Ini selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikaikan fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi juga harus dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah Nurhafizah, “Kita sudahpun melepasi lebih setengah abad kemerdekaan dan sepatutnya kita tidak lagi perlu bergantung kepada bahasa Inggeris sebagai medium bahasa bagi Perlembagaan Persekutuan.”

Perlembagaan Persekutuan yang wajib dipakai adalah dalam Bahasa Melayu, yang mana konteksnya ibu atau bapa, bukan ‘parents’ yang memaksudkan anak itu terpaksa mengikut kedua-duanya.

Sebagai sebuah negara, Kerajaan perpaduan hari ini sewajarnya mengutamakan prinsip untuk memartabatkan isi kandungan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jika ada kekeliruan ataupun maksud yang bercanggah ia sepatutnya sudah dibincangkan diperingkat penterjemahan bersama pakar perlembagaan, sekiranya terdapat maksud yang bercanggah atau membawa maksud yang berbeza ia boleh dipinda pada masa akan datang.

Justeru, jangan cuba hendak memomokkan atau mempolitikkan perkara seumpama ini kerana ia akan memberi pandangan negatif masyarakat kepada penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi negara.

Leave a Reply