KUALA LUMPUR, 16 Januari 2023 – Kerajaan diminta dapat bantu bela nasib peniaga yang sudah lebih 30 tahun bertapak di Jalan Tun Sambanthan 3, Brickfields di ibu negara yang bakal diusir keluar dari situ daripada terus mencari rezeki di tapak berkenaan.

Menurut Presiden Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, seramai 15 peniaga India yang berniaga di sepanjang jalan berkenaan mungkin terpaksa akan berhenti berniaga di tapak berkenaan bagi memberi laluan kepada aktiviti lain yang akan digunakan di kawasan berkenaan.

Difahamkan, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini telah pun memberikan kebenaran kepada pihak tertentu dan syarikat YTL Corporation Berhad (YTL) untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai utiliti bagi bangunan yang dimiliki oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di belakang kawasan gerai dan sebuah bangunan lagi yang dimiliki oleh YTL.

Bagaimanapun, ia sebenarnya akan digunakan sebagai laluan masuk baharu bagi menghubungkan bangunan baharu yang juga milik syarikat berkenaan.

“Hari ini kita lihat DBKL, Datuk Bandar ini memang macam tendang bola, tendang sana tendang sini sehingga hari ini masalah peniaga-peniaga ini tak selesai,” katanya kepada media ketika ditemui di lokasi isu berkenaan di ibu negara, disini.

Tambah beliau, beliau meletakkan harapan kepada YAB Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim yang mana YAB PM selepas dilantik akan sentiasa menjaga kebajikan rakyat dan peniaga-peniaga yang miskin akan mengotakan janjinya dengan membela nasib para peniaga ini.

“Rakyat terharu apabila Perdana Menteri yang baharu yang mengatakan sewaktu hadir di DBKL, beliau kata paling utama akan jaga rakyat, rakyat miskin dan peniaga miskin.

Terdahulu, didalam sebuah laporan portal Malaysiakini bertarikh 8 Ogos 2022 menyatakan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang memiliki bangunan di belakang deretan gerai berkenaan mengambil langkah meminta para peniaga berkenaan untuk berpindah.

Menurut Arivom Namasivaya, Peguam yang mewakili para peniaga berkenaan berkata, pihaknya baru-baru ini sudah pun memfailkan permohonan injunksi di mahkamah terhadap DBKL supaya gerai dikawasan berkenaan tidak akan dirobohkan dan aktiviti menebang pokok tidak dilakukan.

“Permohonan kami belum didengar lagi dan belum diputuskan.

“Writ samannya masih dalam proses,” katanya.

Tambah beliau, bagaimanapun dua pokok telah pun dapat ditebang sebelum ini.

Salah seorang daripada peniaga berkenaan iaitu Parameswary Letchumanan, 63 tahun, berkata beliau telah mula berniaga sejak tahun 1982 di kawasan yang menempatkan pusat beli-belah Nu Sentral dan kemudian diminta berpindah ke lokasi stesen Petronas sekarang di Jalan Tun Sambanthan 3 ini.

“Selepas 10 tahun berniaga, disebabkan pembinaan stesen Petronas saya diminta berpindah ke seberang jalan, saya dah penat dengan asyik berpindah-pindah, sudah 40 tahun lebih, saya hanya mahu berniaga di sini dan tak mahu berpindah lagi,” kata Parameswary.

“Perlu ada satu jalan penyelesaian dibuat sebelum hujung bulan ini, kata Mohd Ridzuan.

“Mereka (DBKL) datang tebang pokok pada waktu malam, satu hari nanti mereka akan robohkan gerai pada waktu malam,” katanya

Beliau berharap agar YAB Datuk Sri Anwar akan mengambil berat terhadap isu ini selaras dengan ikrarnyavl yang mahu membantu rakyat dan peniaga B40 ini.

Untuk rekod, lokasi berkenaan sudah pun sekian lama menjadi tempat peniaga makanan kecil-kecilan berkenaan berniaga yang dikunjungi para pelanggan yang mereka terdiri dari kumpulan B40 untuk menjamu selera dan berehat setiap hari.

Leave a Reply