SHAH ALAM, 19 Januari 2023 – Satu tindakan penguatkuasaan yang berterusan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor yang komited memastikan perdagangan domestik berada dalam ekosistem urus niaga yang harmoni dan beretika.

Bagi merancakkan ekonomi negara, pihak industri digalakkan menjalankan aktiviti perniagaan dan mempunyai pematuhan yang tinggi selaras dengan perundangan yang dikuatkuasakan khususnya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan oleh sepasukan Penguat Kuasa KPDN Selangor di bawah Ops Pasar (sayur-sayuran) di sebuah premis Pasaraya di Shah Alam, Selangor telah membawa kepada siasatan lanjut dan elemen-elemen kesalahan di bawah AKHAP 2011 dapat ditemui yang akhirnya membawa kepada kes dipertuduh di Mahkamah pada 18 Januari 2023.

Asas tindakan bermula dengan tindakan satu serahan telah dibuat iaitu serahan Notis Pengesahan Maklumat Harga dan Barangan (NPMB) dan Notis Bertulis Seksyen 21 AKHAP 2011 (NB) kepada wakil premis perniagaan yang beroperasi sebagai rantaian supermarket / hypermarket bagi tujuan keperluan siasatan. Beberapa jenis barangan dalam kumpulan sayur-sayuran telah dikenal pasti untuk diperiksa dan disiasat.

Sepanjang proses siasatan, hasil daripada semakan dan analisa ke atas maklumat/ dokumen yang diterima didapati berlaku unsur pencatutan ke atas dua (2) jenis barangan yang dinotiskan iaitu sawi pendek dan cili merah. Hasil analisa pencatutan mendapati berlaku pencatutan bagi penjualan :

a) Sekilogram sawi pendek sebanyak 8.31 % yang mana tindakan itu telah menyebabkan kenaikan peratusan margin daripada 33.46% kepada 41.77%;

b) Sekilogram cili merah sebanyak 8.59 % yang mana tindakan itu telah menyebabkan kenaikan peratusan margin daripada 7.04% kepada 15.63%
Penentuan pencatutan dibuat berdasarkan Peraturan 5(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.

Oleh itu kes ini telah dipertuduh di mahkamah pada 18 Januari 2023. Orang Kena Saman (OKS) merupakan sebuah Pasaraya di Shah Alam, Selangor. Pihak Pendakwaan KPDN Selangor diwakili oleh Pegawai Pendakwa, Nor Wahidah binti Muhammad telah menjalankan prosiding bagi kes ini di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan akhirnya, OKS telah mengaku bersalah dengan pengakuan sendiri setelah pertuduhan dibaca di hadapan Hakim (Koroner) Puan Rasyihah binti Ghazali, Mahkamah Sesyen 8, Shah Alam.

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman ke atas OKS denda sebanyak RM70,000.00 di atas kesalahan di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Justeru, KPDN Selangor berharap susulan daripada kes pertuduhan perlakuan mencatut ini boleh menjadi satu isyarat dan peringatan terhadapa mana-mana rantaian perniagaan agar menjalankan aktiviti perniagaan secara beretika dan selaras dengan peruntukan perundangan yang dikuatkuasakan demi mengimbangi keharmonian urus niaga di antara peniaga dan pengguna.

Leave a Reply