KUALA LUMPUR – UMNO-Barisan Nasional hari ini menegaskan Presidennya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak akan sesekali menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya bagi mendakwa pimpinan Perikatan Nasional sebagai tindakan balas dendam politik.
Menurut satu kenyataan dikeluarkan pejabat komunikasi Barisan Nasional (BN), dakwaan dua pemimpin tertinggi BERSATU di mahkamah minggu lalu bahawa Zahid adalah dalang dan perancang ke atas pendakwaan terhadap Ketua Penerangannya, Wan Saiful Wan Jan minggu lalu adalah satu kenyataan melampau.
Menurut kenyataan itu lagi, tuduhan itu adalah fitnah besar yang melulu dan disengajakan bagi mengalih perhatian terhadap isu skandal Jana Wibawa yang kini melanda Perikatan Nasional.
Tindakan Muhyiddin dan Azmin juga dilihat sebagai usaha menutup kelemahan parti itu dari perhatian umum dan cuba menggambarkan parti mereka sebagai mangsa pendakwaan politik oleh Kerajaan Perpaduan yang turut ditunjangi UMNO-BN bersama koalisi Pakatan Harapan.
Hari ini, satu surat tuntutan (Letter of Demand) telah dihantar pihak guaman kepada penama Tan Sri Muhyiddin dan Dato’ Seri Mohammed Azmin Ali sebagai tindakbalas daripada tuduhan tidak berasas yang dikeluarkan.
Fintah liar ini tidak boleh dibiar berlarutan untuk dijadikan bahan untuk menipu dan meloloskan diri daripada dakwaan terhadap kesalahan dan jenayah yang telah dilakukan.
Kedua-dua penama tersebut mestilah menarikbalik kenyataan mereka, memohon maaf secara terbuka dan membayar balik pampasan ganti rugi di atas kenyataan serta fitnah yang telah dilakukan.
UMNO-BN menegaskan Presiden dan pengerusinya kini fokus menggalas tugas Timbalan Perdana Menteri adalah untuk menguruskan hal ehwal negara khususnya meningkatkan kesejahteraan serta ekonomi hidup masyarakat desa.