KUALA LUMPUR – Seramai 663 usahawan dalam industri halal yang diterajui Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal menerima bantuan dalam bentuk suntikan modal melalui peruntukan RM36.69 juta bagi membiayai operasi mereka.

Tahun ini juga MARA menumpukan program pensijilan keusahawanan bagi membantu usahawan meningkatkan standardisasi, produktiviti dan transformasi syarikat ke arah menjadikan mereka pengeksport dan pelabur ke luar negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, MARA mempunyai ekosistem lengkap dalam membangunkan industri Halal di kalangan usahawan Bumiputera yang berpotensi untuk diperkasa melalui strategi terancang dan inklusif.

Ekosistem ini meliputi kemudahan seperti latihan, pembiayaan perniagaan, infrastruktur atau fasiliti sokongan seperti inkubator, kemudahan premis perniagaan, logistik dan akses kepada pasaran.

Zahid berkata demikian sejurus lawatannya ke Kompleks Industri Makanan MARA (KIMAR) hari ini sambil menyatakan komitmen MARA dalam membantu usahawan Bumiputera meneroka pasaran Halal dalam dan luar negara.

KIMAR adalah sebuah kompleks mengandungi 19 lot premis kilang, dua unit mini kilang dan sebuah lot ruang niaga yang menyediakan kemudahan operasi usahawan berdaftar di bawah institusi MARA.

Kemudahan ini memenuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (GMP), Analisa Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) serta mematuhi pensijilan HALAL bagi proses pengeluaran produk berorientasikan eksport.

Selain KIMAR, MARA juga mempunyai sebuah Inkubator Teknologi Makanan (INTEM) yang berfungsi sebagai pusat teknologi pemprosesan makanan, 299 lot kilang di Kawasan Industri MARA (KIM) dan 103 lot kilang di empat kkbuah Halal Park.

Dalam majlis sama, Zahid turut melancarkan penjenamaan baharu KIMAR kepada MARA Halal Industrial Park (MHI Park) bagi menepati fungsi dan peranannya sebagai penyedia ‘Ekosistem Keusahawanan Halal’ yang lengkap.

Untuk rekod, seramai 12,500 usahawan telah menerima manfaat kemudahan keusahawanan melalui latihan, geran peningkatan, pembiayaan perniagaan dan penyewaan premis melalui program pembangunan industri Halal yang dibangunkan MARA, tahun lalu.

Kumpulan usahawan bimbingan MARA ini juga telah berjaya menjana jualan tahunan sebanyak lebih RM2 bilion sekaligus mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan.

Leave a Reply