KUALA LUMPUR – Seluruh lapisan rakyat diseru menghayati konsep “Perpaduan Dalam Kepelbagaian” dan mengamalkan nilai toleransi dalam membina masyarakat MADANI yang bersatu padu dan berdaya saing.

Dalam menyahut aspirasi ini, Kementerian Perpaduan Negara hari ini melancarkan Program Kembara Perpaduan Malaysia MADANI di Dataran Muzium Negara.

Program ini adalah antara inisiatif melalui Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memperkasa agenda perpaduan negara dan integrasi nasional.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata dalam memenuhi matlamat ini, kementerian akan menggerakkan seluruh agensi di bawahnya iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Arkib Negara Malaysia (ANM), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) dan Yayasan Tun Razak (YTR) bagi menerajui pelaksanaan program dan aktiviti yang telah dirancang.

Program flagship ini diperkenalkan dengan matlamat menyebarluaskan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat terhadap usaha-usaha Kerajaan dalam membangunkan Malaysia MADANI.

Kembara Perpaduan Malaysia MADANI memayungi tiga kluster program yang berpaksi kepada pencapaian objektif Dasar Perpaduan Negara melalui penglibatan dan kerjasama semua pihak termasuklah pemimpin, agensi Kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan Kerajaan (NGO), Civil Society Organisation (CSO) dan masyarakat secara keseluruhannya.

Penglibatan jentera perpaduan khususnya KRT, Skim Rondaan Sukarela, Sekretariat Rukun Negara, Kelab Rukun Negara, Jawatankuasa Penyelaras Tabika Perpaduan dan NGO Rakan Perpaduan (Friends of Unity) akan diperkasa bagi menyokong pelaksanaan setiap program dan aktiviti berkaitan.

Kolaborasi strategik ini juga akan melibatkan agensi swasta serta NGO selain pendekatan “whole of government” iaitu kerjasama antara agensi Kerajaan merentasi sempadan portfolio organisasi dengan berkongsi tindakan untuk mencapai matlamat pembangunan Malaysia MADANI.

Progam Kembara Perpaduan Malaysia MADANI dijangka memberi impak besar kepada seluruh segmen masyarakat dengan pelbagai pengisian program yang dapat memperkukuh jalinan muhibbah dan ikatan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.

-ENDS-

Leave a Reply