KUALA LUMPUR – Siapa yang tidak teruja melihat koleksi jenama fesyen berprestij negara, Rizman Ruzaini (RR), lebih-lebih lagi busana persalinan menyambut hari lebaran.
Jenama Rizman Ruzaini kini bukan sahaja dikenali dengan ‘trademark’ rekaan busana pengantin semata-mata, tetapi menjadi tumpuan peminat setia pelbagai lapisan masyarakat menggayakan busana raya secara eksklusif dan mewah.
Rizman Ruzaini yang dikelola pereka fesyen duo terkenal, Rizman Nordin dan Ruzaini Wan Jamil, sekali lagi muncul dengan pelancaran 100 koleksi RR Raya 2023, pada kadar harga mampu milik.
Bertemakan Raikan Raya Bersama Rizman Ruzaini, Rizman berkata pelancaran koleksi RR Raya 2023 membabitkan perbelanjaan sehingga RM1juta.
“Ia bukan soal duit sebenarnya tetapi ia tentang bagaimana selepas hampir 20 tahun mencabar diri, apa yang ingin kami tonjolkan adalah kematangan jenama ini.
“Bercakap perihal lokasi pelancaran, pemilihan hotel St Regis dilihat bertepatan dengan koleksi hari raya Rizman Ruzaini untuk tahun ini.
“Mengenali saya dan Ruzaini sendiri kami memang teliti dalam semua aspek. Jadi pemilihan lokasi ini juga harus selari dengan apa yang ingin kami tampilkan pada koleksi kali ini. Eksklusif dan mewah,” katanya.
Terdahulu, Rizman Ruzaini melancarkan pertunjukan fesyen Rizman Ruzaini Fall Winter 2023 & Raya 2023 yang turut mendapat sokongan rakan strategik daripada Usanita di Hotel St Regis, baru-baru ini.
Koleksi Rizman Ruzaini Fall Winter diinspirasi dari ilham ‘The Nights Lights of Kuala Lumpur’ dengan warna ‘champagne’ yang menjadi simbolik koleksi.
Bagi koleksi RR Raya 2023 pula seperti banyak menampilkan motif reben dan butiran batu permata pada busana raya wanita.
Puluhan selebriti turut meraikan koleksi baharu yang memukau itu, antaranya barisan Fashion Royalty seperti Marion Caunter, Kavita Sidhu, Daiyan Trisha yang ternyata mengiyakan bahawa jenama Rizman Ruzaini bukan sahaja disayangi peminatnya tetapi golongan terkenal ini.
“Seperti yang kita tahu, Rizman Ruzaini memang cukup akrab dengan golongan selebriti di negara ini. Bagi kami kehadiran jenama ini pada awalnya juga banyak bergantung kepada sokongan selebriti yang tidak putus-putus memberikan maklum balas yang baik tentang jenama ini.
“Tentunya saya harapkan hubungan antara selebriti dan Rizman Ruzaini akan terus terjalin erat sekali gus menjadi inspirasi kepada kami untuk terus menghasilkan karya lebih mengujakan pada masa depan,” jelasnya.
Rizman berkata, koleksi RR Raya 2023 boleh didapati pada harga serendah RM149 hingga RM8,000.
Sementara itu, Rizman berkata, Rizman Ruzaini mewujudkan dua ‘segmentation’ iaitu untuk golongan yang memilih harga yang lebih mewah, manakala RR pula untuk mereka yang mahu membeli jenama ini tanpa perlu memikirkan soal harga.
“Tetapi untuk tahun ini kempen kami tertumpu kepada semua golongan melalui satu slogan Raikan Raya Bersama Rizman Ruzaini. Dari serendah-rendah harga yang kami letakkan, saya yakin semua pelanggan di luar sana yang teringin menyarungkan rekaan eksklusif Rizman Ruzaini mampu untuk berbuat demikian untuk kali ini,” katanya.
Jelas Rizman, selepas hampir 20 tahun berada dalam bidang ini fokusnya kini hanya satu iaitu untuk memastikan setiap golongan di negara ini berpeluang untuk menggayakan jenama kebanggaannya ini.