Sumber foto

KUALA LUMPUR – Peguam syarie kepada pelakon, Puteri Sarah memberitahu Mahkamah Rendah Syariah, di sini, bahawa sutradara terkenal, Syamsul Yusof memukul isterinya, pada tahun 2020.

Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata demikian ketika prosiding sebutan kes permohonan cerai, hari ini.

Katanya, kejadian itu memaksa Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, keluar daripada rumah yang diduduki.

Akberdin menambah, Puteri Sarah hanya pulang semula ke rumah itu selepas dipujuk kedua-dua mentuanya.

Pada prosiding sama, Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan Syamsul dan Puteri Sarah supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Pada prosiding itu, Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 39, diwakili peguam syarie, Roshdan Sujak.

Terdahulu, Syamsul dan Puteri Sarah tiba di pekarangan mahkamah secara berasingan.

Puteri Sarah dilaporkan sebelum ini memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Punca utama tuntutan cerai dibuat kerana sudah tiada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Puteri Sarah mendedahkan, dia dan anak-anak tidak lagi tinggal bersama suami, sama ada di rumah mentua mahupun di rumah kelamin.

Hal ini berikutan akibat tekanan dan gangguan yang berpunca daripada pihak ketiga sehingga telah lama tidak pulang ke rumah.

Untuk rekod Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4,.