Oleh Tun Puteh Wanti
Ini adalah analisis kewartawanan dan pendapat penulis berikutan kekecohan berlaku berkaitan isu Bon Odori yang berlaku percanggahan antara pihak agamawan dan pihak Istana.
Perkataan ‘tidak berkenan’ dalam bahasa Istana bermaksud tidak bersetuju langsung atau dukacita atau murka.
Dalam isu Bon Odori, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengeluarkan perkataan ‘tidak berkenan’ apa-apa keputusan mengenai perkara itu, disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang mendalam.
Baginda berpendirian, banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada di dalam budaya.
Sultan adalah Ketua Agama yang adil. Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad bukanlah bertaraf Mufti sebagaimana mantan menteri, Datuk Dr Zulkifli sebelum ini.
Menteri Agama hari ini adalah orang politik datang daripada parti politik yang diketahui ada sifat ekstremis dimana sesama musuh politik pun mereka pernah gelar dan guna perkataan kafir hanya kerana tidak berpuas hati dengan parti politik lawan.
Baginda Sultan adalah tepat menyatakan jangan gunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menyuarakan perkara-perkara yang boleh menyinggung agama dan bangsa lain.
Sultan Selangor adalah Sultan yang DiPertuan Jajahan Takluk Negeri Selangor Darul Ehsan dan Segala Daerah Takluknya menitahkan Menteri Agama hadir ke Festival Bon Odori pada 16 Julai ini bertempat Stadium Sukan Panasonic Shah Alam, supaya memahami perbezaan di antara agama dan budaya kerana festival berkenaan adalah perayaan kebudayaan yang sudah diraikan di Malaysia sejak 46 tahun lalu.
Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin bertitah, Bon Odori dirai bagi mengeratkan semangat muhibbah di antara rakyat Malaysia dengan komuniti Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.
Malah baginda juga murka apabila Menteri Agama itu menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membuat kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat serta boleh menjejaskan imej dan reputasi JAKIM.
Susulan daripada ini, Baginda memperingatkan supaya Menteri, JAKIM, YADIM dan JAIS turun padang hadir dan memantau perjalanan Festival Bon Odori sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Selaku Raja Adil yang memerintah negeri Selangor, Baginda mahu pegawai-pegawai yang diberi tanggungjawab turun sendiri mengalami dan bergaul dengan masyarakat Jepun.
Baginda sendiri pernah menghadiri sambutan perayaan itu pada 2016 diiringi Duta Besar Jepun ke Malaysia dan menerusi pemerhatian baginda, sambutan Bon Odori tidak melibatkan upacara berbentuk keagamaan atau ritual yang boleh memesongkan akidah mereka yang hadir menyaksikannya.
Baginda menjalankan tanggungjawab sebagai pemerintah Raja Melayu yang Adil dan Saksama mengarahkan pemeriksaan, siasatan atas sebarang pertuduhan.
Mungkin pihak JAKIM, YADIM atau JAIS terlupa bahawa sebarang keputusan berkaitan laporan salah laku agama, ajaran sesat atau apa-apa keputusan yang boleh menggugat akidah umat Islam di Selangor harus diangkat kepada pengetahuan Baginda Sultan terlebih dahulu secara dalam laporan bertulis.
Adalah lebih pelik, pengerusi daripada YADIM tidak mengamalkan prinsip asas dakwah dalam menyiasat dan menyelami hal ini?
Adakah mereka hadir bertemu wakil-wakil Jepun berkaitan Jepun, adakah mereka sudah bina hubungan bertanya khabar sebelum keluar kenyataan.
Tidak seharusnya gopoh mewar-warkan dalam sidang media, membelakangi Baginda.
Baginda juga bertitah akidah umat Islam tidak akan terpesong serta merta apabila memiliki asas agama yang kuat, kukuhkan akidah umat Islam terlebih dahulu bukannya terus haramkan segala benda.
Perkara inilah yang seharusnya jadi tumpuan agensi-agensi dipertanggungjawabkan.
Mengambil tanda tanya adakah mereka mengambil pendekatan Wahabi yang mengamalkan berbincang sesama mereka sahaja? Sebagai contoh puak Wahabi ini berkata, “Zaman Nabi adakah wujud Bon Odori, mana dalil atau nas kalau tiada kita tolak dengan keras,”.
Itulah modus operandi Wahabi yang sentiasa bertelagah mencari punca pertelagahan dengan umat Islam sedia ada di Malaysia.
Seharusnya agensi-agensi ini turun padang, bertemu penganjur, bertemu dengan pihak-pihak berkepentingan lain, jalankan RND secara berhemah dan berakademik bukan pukul rata sahaja.
Prosidurnya sudah ada pada mana-mana jabatan agama pun, selepas itu majukan ke dalam mesyuarakat dan kemudiannya angkat ke Majlis Mufti atau Majlis Fatwa.
Selepas dapat keputusan, bentangkanlah kepada Sultan sebagai Ketua Agama Negeri.
Pada ketika ini, sudah tentulah Sultan Selangor dukacita kerana prosidur ini tidak dijalankan sehingga pejabat DYMM mengeluarkan kenyataan rasmi mengarahkan agensi-agensi agama ini melaksanakan terlebih dahulu kerja asas yang sepatutnya mereka buat – Media Variasi