AMPANG – Agensi pelancongan tempatan kurang mempromosi aktiviti seni warisan, budaya dan pelancongan agro negara, antara faktor Malaysia bukan pilihan keberadaan pelancong luar negara lebih lama.
Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA), Uzaidi Udani, mendedahkan, pihak agensi pelancongan tempatan kebanyakannya mempromosi pakej kepada pelancong untuk ke luar negara sahaja (‘outbound’) berbanding ‘inbound’.
Oleh sebab itu beliau menyuarakan kekhuatirannya berhubung status pelancongan inbound iaitu gerak kerja membawa pelancong asing atau tempatan dalam negara sendiri.
Sedangkan dakwanya, Tahun Melawat Malaysia 2025 bakal menjelang tidak lama lagi, tetapi tidak melihat sebarang usaha promosi apa-apa aktiviti kebudayaan, dan agropelancongan daripada agensi berkenaan.
“Kita ada lagi sekurang-kurangnya setahun lebih untuk ke tahun 2025, menyediakan gerak kerja promosi inbound, jika tidak kita akan ketinggalan.
“Kebanyakan agensi pelancongan di Malaysia tidak aktif mempromosi Malaysia. Kebanyakan daripada 5,300 agensi berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), mereka hanya promosi outbound seperti ke Korea, Jepun, Turki, Dubai, Indonesia.
“Ini merugikan negara kita, kerana seharusnya mempromosi negara sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program MITA Inbound Marketplace 2023 – Persediaan Industri Malaysia Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2025 , di sini pada Rabu.
Program terbabit menghimpunkan penggiat industri pelancongan dengan pengendali produk pelancongan untuk menjalinkan kerjasama perniagaan.
Uzaidi yang juga Presiden Majlis Pelancongan Malaysia berkata, industri pelancongan Malaysia memerlukan aktiviti eksentrik seperti kebudayaan, warisan dan pelancongan agro, khususnya dari setiap negeri.
“Kita tunjuk video macam-macam (kepada pelancong luar) tetapi tiba di sini, tidak nampak apa pun.
“Dari segi pembangunan, dah sedia ada tetapi pelancong mahukan pelancongan eksentrik.
“Malaysia juga perlu bersifat lebih terbuka untuk menerima kehadiran pelancong asing, tanpa menyekat hak sebagai pelancong, seperti di Turki, Arab, mereka negara mengamalkan Islam tidak menyekat industri seperti hiburan,” katanya.
Justeru, beliau menjelaskan ketika ini pihaknya menjalankan inisiatif pertama dengan mengadakan pertemuan bersama menteri berkaitan, bagi membentangkan Roadmap 2023-2025 oleh MITA, iaitu Championing Local Destination Management Company (DMC), Creating Sustainable Tourism Experience, dan Capturing Direct International Market via Digital.
Katanya, kerjasama berterusan dan lebih agresif akan diteruskan dengan pelbagai pihak kementerian termasuk Kementerian Pendidikan dalam usaha merancakkan pelancongan Malaysia.