KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Muhammad Iqbal Mazlan kini menderita buta mata sebelah kiri, yang dipercayai berpunca daripada virus yang belum diketahui.
Bekas juara Program Pilih Kasih musim pertama, itu mendedahkan, penglihatan matanya mula terjejas sejak bangkit dari tidur awal Mac lalu, namun hilang nikmat itu sepenuhnya, pada 3 Mac baru-baru ini.
Muhammad Iqbal, 33, menceritakan, dia dimasukkan ke wad di Hospital Shah Alam, sejak 5 Mac dan perlu melaporkan diri di klinik mata sejak itu.
“Saya hilang penglihatan sewaktu bangun tidur, kemudian mata sebelah kiri tidak nampak dan mulanya ingatkan salah tidur, panik juga waktu tu.
“Ada satu hari tu selepas maghrib keadaan mata makin teruk, kemudian esoknya bila bangun penglihatan saya hilang sepenuhnya dan kejadian ni berlaku pada 3 March lalu,” kata Iqbal dipetik mStar.
Katanya, doktor pada mulanya hanya syak penyakit strok mata atau jangkitan kuman biasa tetapi doktor hanya mengesan jangkitan virus,
“Buat masa ni belum tahu lagi virus apa, dan kini sedang menunggu keputusan lanjut.
“Penyakit ini agak ganjil dan maklumat tidak banyak jadi terpaksa melakukan secara terperinci mengenai penyakit saya ni.
“Jangkitan virus ni agak agresif sebab dia hanya serang bahagian mata saja, bahagian badan lain semua okay,” ujarnya.
Muhammad Iqbal kini hanya mampu berserah kepada Allah SWT supaya dapat kembali melihat kerana ketika ini dirinya berasa kosong.
Sementara itu Iqbal menyatakan hasrat untuk bertemu dengan pelakon senior, Datuk Rosyam Nor untuk memohon bantuan daripada beliau.
“Saya teringin sangat nak jumpa abang Rosyam, lama sangat abang, saya seorang dekat sini tapi yang lain semua sudah berjaya… teringin sangat nak jumpa abang sebab kali terakhir berhubung pun saya sudah lupa sebab terlalu lama.
“Buat masa kini setiap hari saya akan dipantau oleh pihak hospital sehingga keputusan ujian darah diberitahu.
“Saya kini masih lagi ditahan di wad dan kemungkinan akan dibenarkan pulang pada bulan puasa, akan tetapi ia bergantung kepada keizinan dari pihak hospital,” katanya.