KUALA LUMPUR – ‘Saree’ adalah sehelai kain yang tidak dijahit, lingkungan dari empat ke sembilan meter pada panjangnya dan ditabir lilit ke atas badan dalam pelbagai gaya.
Bukan sekadar balutan di keliling pinggang, malah terdapat 108 cara memakai Saree yang menjadikannya satu pakaian yang unik.
Bagaimanapun pakaian tradisional India ini semakin dilupakan dan, untuk itu
World Saree Day Malaysia (WSDM) menganjurkan satu program amal seni dan budaya.
Lebih daripada 60 Saree digayakan oleh 10 model dari Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat pada Ahad lalu.
Program amal ini disokong oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), Kelab Bharat Kuala Lumpur dan Suruhanjaya Tinggi India.
Objektif penganjuran adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai dan mendidik mereka tentang keunikan saree serta menyalurkan sumbangan kepada
PDSM bagi menampung perbelanjaan mereka.
Pengarah World Saree Day, BKay Nair berkata, pada majlis ini turut mempamerkan 30 jenis saree yang berbeza dan gaya lilitan di 30 negeri (India selatan ke utara) sebagai cara untuk mendidik orang ramai tentang keunikan dan fakta menarik tentang saree.
“Terdapat pelbagai jenis di India dengan berbeza material, reka bentuk, dan gaya yang dipakai.
“Kami memilih untuk mendidik tentang warisan budaya saree kerana terdapat banyak fakta menarik mengenainya.
“Penyertaan komuniti Sindrom Down sebagai model turut dapat meningkatkan pembangunan diri mereka.
“Sumbangan yang diberikan oleh WDSM kepada PSDM adalah untuk membantu mendapatkan peralatan tambahan, perbelanjaan latihan kerjaya vokasional, dan peralatan bagi membantu ahli persatuan menjadi usahawan yang berdikari dan berjaya dalam masa terdekat, ” katanya kepada media pada Majlis Minum Petang Berkebajikan PSDM bersama WDSM.
Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi India, Bommireddy Narasimha Reddy.
Rumah anak yatim dan kanak-kanak daripada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mary, Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Lagenda dan Pertubuhan Kebajikan Lindungan
Ikhlas turut hadir memeriahkan majlis itu.
Pada majlis sama, turut dipersembahkan tarian khatak tradisional yang unik juga dipersembahkan oleh
Pusat Kebudayaan India Netaji Subhash Chandra Bose (NSCBICC) di mana penari menceritakan kisah melalui mata dan ekspresi tubuh mereka.
PSDM adalah pertubuhan bukan untung yang ditubuhkan pada 2001, ia mempunyai sukarelawan kebajikan yang menjaga pembangunan dan memperjuangkan hak individu Sindrom Down (SD) di seluruh Malaysia melalui perspektif kesihatan, kebajikan, pendidikan, latihan kerjaya vokasional, dan pekerjaan.
Bkay Nair Resources, diasaskan Bkay Nair adalah syarikat penyediaan latihan dan acara yang telah melatih orang ramai secara peribadi untuk menjadi usahawan yang berjaya, dalam aspek komunikasi dan pembangunan kerjaya.
Sebagai seorang yang dermawan, dia telah melibatkan dirinya dalam pelbagai acara dan program khidmat sosial untuk wanita dan kanak-kanak yang memerlukan melalui Soroptimist International Ampang dan Sedunia Hari Hijab Antarabangsa.