AMPANG – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Pandan dan Gombak mendesak supaya program ‘Thai Hot Guy’ dibatalkan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Hasry Sham Chasmen mewakili kumpulan berkenaan membantah keras penganjuran pesta komuniti gay di sebuah bar, ‘Privacy Club Tun Razak’ di Jalan Tun Razak, ibu negara, pada 30 Mac ini.
“Pesta ini tidak sesuai dianjurkan pada bulan Ramadan memandangkan negara yang majoritinya Islam dan Islam sebagai agama rasmi, boleh menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
“Pesta ini diuar-uarkan secara besar-besaran menerusi poster di media sosial seolah menggalakkan pula program yang bertentangan agama dan norma hidup masyarakat yang majmuk,” katanya kepada media.
Terdahulu, ketiga-tiga Pemuda UMNO bahagian masing-masing membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang pada Rabu.
Selain Hasry Sham, mereka adalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pandan, Rizwan Shah Azlan dan EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Syafie Abdul Rahma, selain sekumpulan ahli daripada bahagian masing-masing.
Bagaimanapun, Hasry berkata, poster berkenaan sudah pun diturunkan, namun tetap bertegas supaya penganjur bertanggungjawab.
“Tindakan iklan dan mempromosi LGBT itu telah menyalahi, melanggar undang-undang, sepatutnya SKMM juga boleh bertindak ke atas isu ini, ” katanya.
Terdahulu, tular di laman media sosial, pembukaan rasmi sebuah bar yang akan dipersembahkan sekumpulan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian dalam wanita dikenali sebagai ‘Thai Hot Guy’ sebagai tarikan utama.
Susulan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Wilson Ugak Kumbong, berkata pihaknya meminta program itu tidak diteruskan bagi menjaga keharmonian negara yang berbilang kaum dan agama.