KUALA LUMPUR – Penganjur ‘Thai Hot Guy’ akur untuk membatalkan program berkenaan, susulan desakan pelbagai pihak.
Penganjur yang juga kelab malam itu, turut memohon maaf atas dakwaan menimbulkan kontroversi susulan poster berkenaan yang menampilkan imej lelaki sasa berpakaian dalam wanita.
Ia juga bagi menghormati sensitiviti kaum dan agama.
Privacy Tun Razak dalam satu kenyataan berkata siaran awam mengenai “kegiatan tidak sah dan tidak bermoral” dibuat berhubung pembukaan rasminya.
“Privacy Tun Razak menghormati negara yang mempunyai pelbagai agama dan bangsa, pihak kami tidak akan melanggar undang-undang isu keagamaan negara ini.
“Selain itu, pihak kami tidak berniat untuk mengadakan pertunjukan anti-tradisional yang secara tidak langsung menyentuh sensitiviti masyarakat setempat.
“Kami sekali lagi memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku atas dasar menghormati sensitiviti kaum dan agama, program tersebut telah dibatalkan.” demikian menurut kelab malam itu.
Terdahulu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Pandan dan Gombak mendesak supaya program ‘Thai Hot Guy’ dibatalkan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Hasry Sham Chasmen mewakili kumpulan berkenaan membantah keras penganjuran pesta komuniti gay di sebuah bar, ‘Privacy Club Tun Razak’ di Jalan Tun Razak, ibu negara, pada 30 Mac ini.
Katanya, pesta itu tidak sesuai dianjurkan pada bulan Ramadan memandangkan negara yang majoritinya Islam dan Islam sebagai agama rasmi, boleh menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
PAS turut menyuarakan bantahan terhadap penganjuran acara tersebut yang disifatkannya sebagai “tidak sensitif”, “tidak bermoral” dan “menjijikkan”.
Parti itu juga mempersoalkan penggunaan nama bekas perdana menteri pada kelab malam itu, menganggapnya sebagai satu penghinaan.
Pejabat Perdana Menteri kemudian dilaporkan berkata, siasatan awal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati premis itu dilesenkan sebagai restoran kepada syarikat Beijing 9 Sdn Bhd.
Pejabat Perdana Menteri menambah, lesen restoran syarikat terbabit telah tamat pada 4 Februari 2021 yang lalu.
Premis itu juga tidak mempunyai lesen hiburan dan juga tiada sebarang permohonan lesen hiburan atau permohonan untuk menjalankan aktiviti hiburan.