KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) mengesan ada kegiatan sindiket mempergunakan remaja untuk berlakon seperti pelajar tahfiz dari sekolah tahfiz palsu, untuk mendapatkan sumbangan derma.

Presiden PINTA, Ustaz Mohd Zahid Mahmood al-Hafiz, mendedahkan, perkara itu dikenalpasti selepas pihaknya menjalankan siasatan terhadap mereka yang terlibat dalam modus operandi itu.

“Benar memang ada (berlakon sekolah tahfiz), itu yang tahfiz banyak sampai 1,000 lebih.

“Kadang yang buka tahfiz untuk cari dana dan sumbangan semata, malah dia gunakan pelajar, dia minta derma melalui pelajar yang berlakon seperti pelajar tahfiz. Ya, ada macam itu.

“Bila kita kenalpasti melalui persatuan (PINTA), kita akan beri amaran dan sebagainya. Benda tu benda salah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai jumlah pusat tahfiz yang tumbuh ibarat cendawan malah berlakon seperti sekolah tahfiz.

Beliau berkata demikian pada program Kongsi Rezeki Ramadan Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, di sini,

Hadir menyampaikan sumbangan, Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mohd Zahid yang juga Pengerusi Darul Quran Ittifaqiyah memaklumkan, berdasarkan statistik yang diterimanya, terdapat 2,000 pusat tahfiz berdaftar dan tidak berdaftar di seluruh negara.

Ismail Sabri bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pula berkata, Pemeriksaan Pendawaian Elektrik secara percuma anjuran GiatMara akan diteruskan ke pusat tahfiz dan rumah anak yatim seluruh negara.

Sebuah portal berita, MEDIA VARIASI pada awal tahun ini, melaporkan, isteri Tunku Mahkota Johor (TMJ), Yang Amat Mulia (YAM) Che Puan Besar Khaleeda Bustamam, menerusi Instastorynya mengulang siar video Tiktok disertakan dengan tulisan dengan tajuk ‘PUSAT JAGAAN BERTOPENGKAN LOGO CAPAL NABI KAUT UNTUNG’.

Che Puan Khaleeda mengulang siar daripada akaun Tiktok seorang individu menggunakan akaun nama firdausashaj, yang tertera imej Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO Selangor, Datuk Nazilah Idris.

Ia dikaitkan dengan isu pelajar madrasah yang kini dikenali mantan pelatih Rumah Pemulihan Darussolihin, pernah tular di media sosial kerana mendakwa didera dan dikurung secara salah.

Pada 20 September 2022 turut menemubual eksklusif wakil Madrasah Darussolihin, Ridzuan yang mengaku madrasah berkenaan tidak mendapat kelulusan mana-mana pihak sejak 20 tahun lalu tetapi beroperasi di bawah Pertubuhan Kebajikan Darussolihin berdaftar sahaja.

Beberapa siri laporan bongkar mengenai pusat sudah pun mendapat maklum balas pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ia adalah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selain SIAP.

Masing-masing mengesahkan pusat berkenaan tidak berdaftar dan tidak diwartakan dengan agensi berkaitan.

Ini termasuk kenyataan beberapa mangsa yang tampil tanpa paksaan.