KUALA LUMPUR – Bekas isteri ahli perniagaan terkemuka, Emilia Hanafi mengesahkan tiga anaknya sudah menerima kad kredit peribadi baharu daripada bapa mereka, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin.

Emilia ketika dihubungi berkata, anak-anaknya menerima kad berkenaan yang diserahkan oleh peguam mewakili SM Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader di Mahkamah Jenayah hari ini.

“Had pengeluaran kad kredit berkenaan adalah RM1,000 sebulan, bukannya bagi setiap transaksi.

“Selepas perceraian pada 2016 iaitu antara tahun 2018 hingga 2019 anak-anak pernah terima kad kredit dengan had pengeluaran RM5,000 dengan tempoh tamat lapan bulan sahaja.

“Bagaimanapun pemberian sesuka hati, anak dipotong RM1,000 seorang sebulan sepanjang tempoh itu, (wang anak yang diberi SM Faisal adalah RM2,000 sebulan seorang) .

“Sebenarnya, wang diberi kepada anak-anak tidak cukup kerana mereka bersekolah di sekolah antarabangsa (atas arahan mahkamah), kos makan minum, pengangkutan, buku dan lain-lain, ” katanya.

“Saya memetik Sheikh Mumtaz Ul-Haq, antara perkara utama yang akan ditimbang di akhirat adalah “sadaqa” yang diberi oleh seseorang kepada keluarganya.

“Jadi di sisi Islam apa-apa “sadaqa” yang diberi oleh pihak Faisal kepada ahli keluarganya kita raikan.

“Di sisi undang-undang pula, Seksyen 72 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 menetapkan bahawa ia tanggungjawab seorang lelaki untuk menanggung anaknya.

“Jadi kita raikan juga seketika beliau melaksanakan tanggungjawab di sisi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, peguam mewakili Emilia, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir menambah pihak bapa sering beri hadiah dan minggu ini kad kredit, ketika di sesi mahkamah kepada anak-anak Emilia.

Hakim syariah sebelum ini membenarkan nafkah interim anak RM2,000 sebulan dan SM Faisal perlu membayar perbelanjaan persekolahan anak-anak di sekolah antarabangsa.

Media sebelum ini melaporkan, Emilia Hanafi tular di media sosial sehingga menerima pelbagai reaksi netizen selepas memberitahu di mahkamah bahawa wang nafkah bagi ketiga-tiga anak lelakinya tidak mencukupi sehingga dia sendiri menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan antaranya menjual roti jala dan kerepek bagi menampung kos untuk mereka.

Terbaharu, prosiding kes keganasan rumah tangga membabitkan Emilia Hanafi dan bekas suaminya yang juga ahli perniagaan konglomerat, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin, dilapangkan.

Mahkamah Majistret, di sini, dimaklumkan kedua pihak dalam proses rundingan ke arah keputusan penyelesaian global.

Tarikh di mahkamah syariah (Iddah , Mutaah dan komital ke-8) pada 28 Mac depan juga dilapangkan, susulan permohonan oleh peguam pihak SM Faisal untuk laluan penyelesaian global sama.