AMPANG – Masyarakat urban di Lembah Klang yang ingin merasai suasana nostalgia kenduri kahwin mewah berkonsepkan ala Melayu kampung di hotel, boleh ke Seri Melayu di Flamingo Plaza, Hotel Flamingo, di sini.
Sepanjang Ramadan tahun ini, Seri Melayu yang sudah terkenal dengan menu popularnya, iaitu kambing golek bakar, kali ini menyediakan 60 jenis menu lauk kampung mewah.
Seri Melayu malah masih mengekalkan resipi warisan Melayu dari nenek moyang Cef Mim atau nama sebenarnya, Shameem Norzan, iaitu rendang daging minang.
Sambil menikmati hidangan, pengunjung dihiburkan dengan persembahan tarian dan irama tradisional, selain dilayani oleh tuan rumah, dan saling berbual secara santai sambil mengerat hubungan.
Usai makan, pelayan berusia lingkungan pertengahan, berpakaian ala kampung bersahaja akan mengangkat pinggan mangkuk bersisa, ke belakang, seolah sudah biasa membuat kerja rewang, atau bergotong-royong menguruskan kenduri.
Seri Melayu diusahakan oleh Pengurus Jualan dan Pemasaran Culture Events Wedding Avenue, Syed Budrizz dibantu Pengurus Operasi Majlis, Iswandi Ishak.
Iswandi berkata, konsep Seri Melayu di hotel itu lebih kepada kenduri kahwin di kampung, dan menariknya tempahan berbuka puasa sudah pun penuh sehingga akhir Ramadan.
“Untuk menu, 90 peratus daripadanya adalah lauk kampung, ada lima jenis lauk, berasaskan daging, ayam, ikan bakar, tempoyak, kuih muih tradisional.
“Kawasan ini juga mesra pengunjung, tempat letak kereta banyak, ada surau, tarawih pendek juga disini,” katanya ketika ditemui di hotel berkenaan.
Seri Melayu menerima tempahan seramai 250 orang pada satu masa, dengan pakej bufet RM78 untuk dewasa, dan RM58 untuk kanak-kanak.
Iswandi menambah, pihak pengurusan yang sudah berpengalaman dalam bidang pengurusan majlis kahwin selama 10 tahun, itu juga menjalankan operasi pengurusan majlis kahwin di luar hotel pada hari biasa.
Sementara itu, Cef Mim yang dikenali dengan imej Cef bertanjak dengan masakan Melayu berkata, dia mengendalikan masakan menu yang berasaskan rempah ratus Melayu.
“Menu paling istimewa adalah daging rendang minang masak hitam, saya belajar untuk dapatkan resipi asal menu ini sampai ke Ipoh, berjumpa orang lama di sana.
“Seni memasak juga perlukan kemahiran dan ilmu, kita sendiri kena pergi menuntut, jika nak kenal resipi Melayu, ada tertibnya,” kata bekas cef Palace of The Golden Horses Hotel yang sudah berpengalaman selama 12 tahun dalam bidang itu.