Pengunjung di 38 Bazar Ramadan Rahmah (BRR) terpilih digalak untuk mendapatkan baucer e-dompet bernilai RM20 yang disediakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sebelum berbelanja.
Pemberian baucer itu bukan sahaja wajar dimanfaatkan sepanjang Ramadan tahun, malah menggalakkan usaha penggunaan transaksi digital akan datang.
Bagaimanapun, masih ada rungutan rakyat mengenai keberkesanan kaedah e-dompet yang dikatakan menyusahkan urusan tempahan dan pembayaran.
Mengulas perkara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata sukar untuk mengubah sesuatu yang bukan kebiasaan.
“Namun dalam dunia hari ini, digitalisasi adalah usaha kementerian membantu peniaga.
“Ini juga usaha kementerian mendidik pengguna dan peniaga untuk jangka masa panjang kerana kewangan digital tetap akan ambil alih sejajar perkembangan teknologi semasa, ” katanya pada sidang media.
Beliau berkata demikian pada sesi walkabout di BRR Lorong Tuanku Abdul Rahmah Kuala Lumpur.
38 lokasi sedang melaksanakan BRR di seluruh negara termasuk tiga lokasi BRR menawarkan menu Rahmah bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sepanjang Ramadan ini.
Tiga lokasi membabitkan 41 peniaga itu adalah di Lorong Tuanku Abdul Rahman, tempat letak kereta Lorong TAR Lot 4 dan di Jalan Raja (hadapan Gereja).
Pada masa sama, KPDN memperluaskan Program Pendigital Sektor Peruncitan dengan pemberian Insentif e-tunai kepada pengguna atau peniaga dalam bentuk e-dompet kepada 500 pengguna terawal.