
KUALA LUMPUR, 24 Januari 2026 — Kejohanan Muay Thai berprestij, T-Fight All-Stars 2026, dijangka mencetuskan fenomena baharu dalam arena sukan tempur tempatan apabila ikon Muay Thai dunia, Buakaw Banchamek, disahkan bakal beraksi dalam perlawanan utama kejohanan tersebut yang dijadualkan berlangsung pada April 2026.
Sebagai pengenalan awal, pihak penganjur telah mengadakan Sidang Media dan Pra T-Fight All-Stars 2026, bertujuan memberi gambaran menyeluruh kepada peminat sukan tempur mengenai skala kejohanan, barisan atlet antarabangsa yang terlibat serta komitmen serius penganjur dalam mengangkat sukan Muay Thai ke tahap lebih tinggi di peringkat serantau dan global.
Kehadiran Buakaw di Malaysia nyata menjadi tumpuan utama, sekali gus mencetuskan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat Muay Thai tempatan dan antarabangsa. Buakaw, yang sinonim dengan gaya pertarungan agresif dan reputasi legenda, dijadualkan berdepan wakil dari Beijing, Meng Gaofeng, dalam perlawanan utama (main event).
Meng Gaofeng, 28, bukan calang-calang pencabar apabila memiliki rekod profesional 45 perlawanan dengan 33 kemenangan, termasuk sembilan kemenangan KO. Beliau juga pernah merangkul kejuaraan Wu Lin Feng China 2020, WLF World Champion serta IPCC China Champion, menjadikan pertembungan ini antara yang paling dinanti tahun ini.
Secara keseluruhan, T-Fight All-Stars 2026 bakal menampilkan tujuh perlawanan sengit, melibatkan penyertaan petarung dari Malaysia, Thailand, China, Indonesia, Kemboja, Uganda dan Maghribi, sekaligus mengukuhkan status kejohanan ini sebagai platform Muay Thai bertaraf antarabangsa.
Antara barisan petarung yang bakal memeriahkan gelanggang termasuk wakil tempatan seperti Faris Fight Lab (Kuala Lumpur), Naqie Dragon, Azeem PMKL, Nazmie Dancing Boy, Mat Ropi, Aiman MTK (Sarawak) serta Xumar dari Pendowo Limo Muaythai.
Turut beraksi ialah petarung antarabangsa seperti Chai Chomrong (Kemboja), Irman (Indonesia), Muganga Raymond (Uganda), Saat Shouti (Maghribi) dan Daraek (Thailand).
Penganjuran T-Fight All-Stars 2026 bukan sahaja dijangka melonjakkan populariti Muay Thai di Malaysia, malah berpotensi menjadikan negara ini sebagai hab utama sukan tempur di rantau Asia Tenggara.
#TFightAllStars2026.#BuakawDiMalaysia #MuayThaiMalaysia #AATVSukan #FightNightKL #MuayThaiWorld #CombatSportsAsia #BuakawVsMeng #TFight2026 #GegarGelanggang