
Petaling Jaya, 20 Januari 2025 – Majlis Malam Gala Filem Pemuja yang berlangsung di GSC The Starling Mall malam tadi disambut dengan penuh meriah apabila dihadiri rakan media, blogger, influencer serta para tetamu jemputan industri hiburan tempatan.
Majlis ini menjadi platform penting bagi memperkenalkan filem terbaharu terbitan Metrowealth International Group (MIG) yang mempertaruhkan sebuah karya berunsur seram psikologi dengan pendekatan berbeza.
Menurut penerbit tersohor, Datuk David Teo, filem Pemuja merupakan naskhah yang telah lama dipertimbangkan sebelum akhirnya menemui “nahkoda” yang tepat. Setelah meneliti visi serta hasil pengarahan, Azmir Afendi dipilih sebagai pengarah filem ini.
“Pemilihan Azmir Afendi adalah satu taruhan berani oleh MIG. Namun ini selari dengan prinsip dan slogan kami, Bintang Dicipta Bukan Dilahirkan, di mana kami sentiasa memberi peluang kepada bakat yang berpotensi,” ujar David Teo.
Filem Pemuja diterajui oleh Pelakon Lelaki Terbaik FFM34, QI Razali, bergandingan dengan Yasmin Hani, serta dibantu barisan pelakon berkaliber seperti Namron, Maria Farida, Nafiz Anuar dan beberapa lagi wajah dikenali industri.
Mengangkat tema seram psikologi dan trauma keluarga, Pemuja mengisahkan pasangan suami isteri, Aqil dan Qistina, yang kelihatan menjalani kehidupan sempurna. Qistina merupakan seorang penulis buku kanak-kanak terkenal manakala Aqil pula seorang usahawan yang sedang membina syarikat permulaannya.
Namun, tekanan kewangan serta satu tragedi keluarga memaksa mereka berpindah ke rumah pusaka milik mendiang bapa Qistina di sebuah kampung, bersama anak mereka, Laila. Pada awalnya, kehidupan di rumah tersebut kelihatan tenang dan menjanjikan sinar baharu buat keluarga ini.
Namun, ketenangan itu tidak bertahan lama apabila pelbagai kejadian aneh dan menyeramkan mula berlaku. Aqil menganggap gangguan tersebut sekadar halusinasi akibat trauma dan kemurungan yang dialami Qistina. Seorang penduduk kampung, Pak Erman, menasihati Qistina supaya mendapatkan bantuan seorang dukun tempatan, Dukun Sharifah.
Selepas satu ritual dijalankan, keadaan kembali normal buat seketika. Namun tidak lama kemudian, Qistina mula mengalami perubahan tingkah laku yang semakin membimbangkan, manakala Aqil mula menyedari bahawa ada rahsia gelap tersembunyi di sebalik rumah pusaka tersebut.
Masa semakin suntuk buat Aqil dan Qistina untuk membongkar kebenaran sebenar, sebelum segalanya terlambat.
Dalam perkembangan lain, MIG turut memaklumkan bahawa sebuah lagi filem terbitan mereka telah selesai penggambaran dan kini hanya menunggu tarikh tayangan rasmi.
#FilemPemuja #MIGMalaysia #DavidTeo #QIRazali #YasminHani #FilemSeramMalaysia #GalaPemuja #AACMedia #SeramPsikologi #BintangDiciptaBukanDilahirkan