SHAH ALAM, 20 Januari 2026 – Pengendali umrah tempatan, Mubasyyir Travel & Tours Sdn Bhd, terus mengorak langkah agresif apabila mengumumkan pengukuhan operasinya di peringkat nasional dengan sasaran membawa 5,000 jemaah umrah menjelang awal 2026, khususnya melibatkan golongan B40 dan M40.

Pengarah Urusan Mubasyyir Travel & Tours, Datin Seri Hajah Intan Abdul Hamid berkata, langkah berkenaan mencerminkan komitmen syarikat dalam membantu lebih ramai umat Islam menunaikan ibadah ke Tanah Suci secara selamat, teratur dan berintegriti, selain memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap pengendali umrah tempatan yang sah dan berlesen.

“Mubasyyir ditubuhkan pada 2023 sebagai syarikat bumiputera 100 peratus dan berlesen penuh di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Dalam tempoh singkat, kami berkembang secara konsisten hasil kepercayaan orang ramai terhadap disiplin operasi yang kami amalkan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Mubasyyir Travel & Tours, Ustaz Haji Muhammad Salleh, yang memaklumkan bahawa syarikat kini mengendalikan sehingga 28 penerbangan setiap musim, bersamaan purata tiga penerbangan sebulan, sekali gus meletakkan Mubasyyir antara pengendali umrah tempatan yang mencatat pertumbuhan pesat dalam tempoh singkat.

Menurut beliau, pengukuhan operasi yang dilaksanakan ketika ini turut menjadi asas kepada perancangan jangka panjang syarikat untuk terlibat secara rasmi dalam pengurusan ibadah haji bersama Lembaga Tabung Haji menjelang 2027.

“Kami melihat penglibatan dalam pengurusan haji sebagai kesinambungan tanggungjawab kami dalam industri ibadah. Justeru, penekanan kini diberikan kepada pengukuhan tadbir urus, pematuhan peraturan serta kestabilan operasi,” katanya.

Dalam masa terdekat, katanya, seramai 30 jemaah dijadualkan berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah Syawal, sebagai sebahagian daripada jadual penerbangan berkala syarikat.

Mengulas situasi semasa industri umrah, Datin Seri Hajah Intan berkata, sektor berkenaan kini berdepan pelbagai cabaran termasuk kewujudan ejen tidak berlesen, perubahan dasar visa Arab Saudi, persaingan harga tidak sihat, serta peningkatan kos operasi yang berpotensi menjejaskan kepentingan jemaah sekiranya tidak dikawal.

“Isu penipuan pakej umrah semakin membimbangkan dan memberi kesan besar kepada imej industri. Ia bukan sahaja merugikan jemaah, malah mencemarkan reputasi pengendali umrah yang sah dan berlesen,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada sebelum membuat sebarang tempahan umrah dengan memastikan agensi memiliki lesen MOTAC yang sah, tidak terpengaruh dengan pakej terlalu murah, menyemak rekod penerbangan yang jelas serta mengelakkan pembayaran ke akaun peribadi.

Menurutnya, pemilihan pengendali yang mengamalkan ketepatan jadual penerbangan dan pengurusan yang telus amat penting bagi menjamin kelancaran ibadah jemaah.

Maklumat lanjut mengenai Mubasyyir Travel & Tours boleh diperoleh melalui laman sesawang www.mubasyyirtravel.com.my.

#BeritaAATV #UmrahSelamat #MubasyyirTravel #UmrahB40M40 #PengendaliUmrahBerlesen #UmrahTanpaPenipuan #IndustriUmrah #Haji2027 #UmrahMalaysia #JemaahDidahulukan

Leave a Reply