SHAH ALAM – Mahkamah Syariah kebelakangan ini menjadi tumpuan media melaporkan isu permohonan perceraian membabitkan beberapa selebriti, artis tanah air, sejak awal tahun.
Terbaharu, isu tangga bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang tular di media sosial, baru-baru ini membawa kepada permohonan cerai yang difailkan isterinya di Mahkamah Rendah Syariah, di sini.
Isterinya, Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil, mengemukakan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.
Permohonan itu dikemukakan melalui peguam syarie, Datuk Hazizah Kassim dan Noorulhuda Daud.
Elly Afizahwati berkata, permohonan cerai itu difailkan kerana faktor shiqaq atau perbalahan berpanjangan dengan Musa yang dikahwininya sejak 10 tahun lalu.
“Tan Sri pun sudah keluar rumah kelamin sejak enam bulan lalu. Selepas tuntutan cerai ini saya akan memfailkan tuntutan hak jagaan dan nafkah anak saya yang berusia lapan tahun,” katanya ketika ditemui di perkarangan mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 Mei untuk sebutan semula kes.
Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 2013 dan dikurniakan seorang anak lelaki.
Media sebelum ini melaporkan, tiga klip video berdurasi sembilan saat, 56 saat, dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak dalam rakaman itu.
Susulan itu, Musa dalam satu ciapan di Twitter meminta orang ramai supaya menghormati privasi dan tidak mencampuri urusan keluarganya susulan penularan video berkenaan.
Polis mengesahkan, membuka kertas siasatan berhubung kejadian membabitkan Musa dan isterinya selepas rakaman video pertelingkahan itu tular.