KUALA LUMPUR – Seorang EXCO Pemuda UMNO didakwa menggunakan gelaran Darjah Kebesaran Istana Pahang palsu, susulan tular surat semakan status Darjah Kebesaran Negeri daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri itu.
Surat itu dipercayai diberi kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Selangor bertarikh 23 Mac lalu yang mengesahkan individu berkenaan tidak dikurniakan sebarang pingat Darjah Kebesaran oleh Istana Pahang.
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang, diwakili Mohammad Afiq Tahar kemudian membuat satu laporan polis pada 7 Mac lalu kerana mendapati wujud unsur-unsur penipuan dengan mendakwa individu berkenaan adalah Hasry Sham Chasmen yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang.
“Hasry Sham Chasmen telah menggunakan gelaran ‘Datuk’, beliau sebelum ini adalah Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang yang pernah dipecat empat tahun lalu, namun kembali aktif dalam politik di peringkat UMNO dan BN.
“Namun ada beberapa perkara yang mencurigakan mengenai dirinya apabila dia dikaitkan dengan perolehan anugerah Datuk palsu daripada Istana Pahang untuk tujuan peribadi dan perniagaan yang diceburinya.
“Dakwaan ini adalah sesuatu yang serius dan siasatan pihak berkuasa perlu dijalankan segera lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan individu yang terlibat secara aktif dalam politik dan perniagaan kerana ia akan menimbulkan kekeliruan dan implikasi yang besar kepada masyarakat,”katanya kepada media.
Mohammad Afiq turut mendakwa Hasry Sham telah menggunakan simbol gelaran Datuk Istana Pahang pada kenderaannya selain menggunakan teknik ubah suai foto istiadat dirinya dikurniakan pingat kebesaran.
“Perkara berkaitan penyamaran status ‘Datuk’ Hasry ini telah dilaporkan kepada pihak polis dan disahkan oleh Bahagian Protokol Istana Kerajaan Negeri Pahang sendiri melalui satu emel apabila hasil carian dibuat, tiada rekod mengenai individu dinamakan bagi anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang (DIMP) itu.
“Saya juga tidak mahu perkara yang dilakukan oleh beliau ini dikaitkan dengan Pemuda UMNO kerana ini adalah kesalahan peribadi dan tidak wajar sama sekali dikaitkan dengan nama baik Pemuda UMNO Ampang,” katanya.
Menurutnya, ramai kalangan ahli perniagaan muda dilihat sengaja bermegah dan menggunakan gelaran Datuk untuk mendapatkan pengaruh bagi menarik perhatian golongan tertentu termasuk bagi memerangkap orang ramai dalam usaha menjayakan matlamat perniagaan atau agenda politik mereka.
“Sebagai rakyat Malaysia sesiapa saja boleh buat laporan sekiranya merasakan ada orang menyamar dan memakai gelaran palsu, tidak perlu tunggu buat aduan kepada kita (MDPM) bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Akta Kesalahan Yang Berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787) dijalankan,” katanya.
“Untuk seseorang individu mendapat gelaran Datuk di peringkat Persekutuan, kami hanya membenarkan umur 45 tahun ke atas, jadi orang ramai perlu ada perasaan syak sekiranya melihat ada antara golongan muda sewenang-wenangnya menggunakan gelaran ini.
Katanya, gejala penyamaran “Datuk Palsu” ini perlu dicegah sebelum parah seiring usaha membendung aktiviti “scammers” dan penyiasatan ke atas mana-mana individu terbabit dalam skim ini perlu disegerakan dan dikenakan tindakan perundangan sewajarnya.
Sementara itu, Hasry Shah bagaimanapun membuat satu laporan polis baru-baru ini dan mendakwa dirinya difitnah.
Beliau mendakwa menerima anugerah kebesaran itu pada 24 Oktober 2017.
Isu pemakaian status dan gelaran “Datuk Palsu” pernah dibangkitkan Naib Presiden Majlis Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) Datuk Abdul Razak Dawood apabila trend itu semakin berleluasa mengakibatkan ramai pemegang asli gelaran itu menerima malu dan aib, pada Mac 2021.