KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Ziana Zain akui teruja dan tidak sabar membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada Mei depan.
Ziana, 55, berkata, mengadakan persembahan di DFP bagaikan mimpi menjadi kenyataan kerana ia adalah salah satu impiannya mengadakan persembahan di pentas berprestij itu.
“Alhamdulillah rasa gembira, bersyukur dan sangat teruja kerana DFP adalah salah satu tempat yang saya memang teringin membuat persembahan.
“Memang saya pernah menyimpan impian dapat menyanyi satu lagu di DFP pun rasa syukur, tetapi saya ditawarkan mengadakan konsert ia satu peluang yang cukup bermakna.
“Dapat pula berkongsi satu pentas dengan penyanyi lagenda yang saya sering dengar lagu mereka sejak dari sekolah rendah lagi, ia membuatkan saya begitu teruja,” katanya.
Ziana bakal mengadakan persembahan sempena Konsert Raya Sepanjang Zaman yang dibawakan oleh Orkestra Filharmonik Petronas atau Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) pada 6 Mei ini bersama tiga lagi penyanyi lain iaitu Datuk Hail Amir, Sanisah Huri dan Bob Yusof.
Konsert itu nanti bakal dikemudi oleh konduktor muzik, Ahmad Muriz Che Rose.
Berkongsi mengenai persiapan menjelang konsert, Ziana berkata, dia perlu menjaga pernafasan dan vokal.
Katanya, dia perlu fokus kerana apabila muzik orkestra ia membabitkan ramai pemuzik yang kadang kala boleh mengelirukan artis.
“Saya pernah membuat persembahan dengan orkestra PDRM, mereka menggunakan banyak alat muzik, saya perlu tunggu mereka main dan perlu peka untuk tahu waktu bila perlu masuk.
“Ini adalah satu cabaran buat saya namun pada masa yang sama saya sangat teruja,” katanya.
Mengenai pemilihan lagu, Ziana berkata, Indah Di Hari Raya adalah lagu wajib yang bakal dipersembahkan.
“Saya juga akan mempersembahkan lagu-lagu raya daripada Datuk Sheila Majid dan tribute untuk Allahyarham Datuk Sharifah Aini, di mana saya akan berduet dengan Bob Yusof.
“Saya juga teruja dapat bekerjasama dengan Ahmad Muriz sekali lagi selepas kali terakhir pada tahun 90-an di awal kemunculan saya sebagai penyanyi,” katanya.
Tiket konsert boleh dibeli melalui laman web www.mpo.com.my atau boleh juga beli di kaunter ‘box-office’.
Tempahan menerusi telefon dengan menghubungi 03-23317007. Penonton juga boleh membuat tempahan menerusi emel di alamat boxoffice@dfp.com.my.
Harga tiket bermula dari RM218, RM268, RM318, RM368, RM600/RM650 (Meet & Greet).