GOMBAK – Aktres Puteri Sarah Liyana bakal mengambil tindakan sama terhadap Syamsul Yusof selepas pengarah sensasi itu memfailkan tuntutan permohonan nusyuz pula terhadapnya.
Peguam syarie mewakili Puteri Sarah Liyana, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, pihak isteri boleh mengambil langkah itu pada suami, namun beliau memerlukan masa untuk mempertimbangkannya.
“Kita akan uruskan, atur perkara yang akan dibuat dan jika berlaku, ia akan dikendali ikut undang-undang.
“Dalam masa terdekat ini, kita akan memasukkan pembelaan terhadap nusyuz (oleh Syamsul), kemudian kita tengok nak masukkan tuntutan balas atau nusyuz kepada pihak sana pula,” katanya selepas sebutan kes nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini.
Dalam masa sama, Akberdin turut memaklumkan Puteri Sarah tidak dapat hadir pada prosiding hari ini kerana berada di luar negara berikutan tuntutan kerja dan memohon kehadiran anak guamnya dikecualikan.
Menerusi tinjauan di laman sosial Instagram (IG), Puteri Sarah ke Jakarta, Indonesia atas urusan kerja.
Untuk maklumat, seorang suami boleh disabitkan dengan nusyuz sekiranya mengabaikan nafkah zahir, batin, menyuruh isteri melakukan perkara yang bertentangan hukum syarak, memukul isteri dan tidak berlaku adil (bagi yang berpoligami).
Bagaimanapun, penalti atau hukuman yang boleh dikenakan kepada suami yang nusyuz adalah bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan.
Pada 21 Mac lalu, Syamsul, 39, memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah, 38, di mahkamah sama, di sini.
Pengarah Mat Kilau itu mendakwa Puteri Sarah yang juga pelakon Andai Itu Takdirnya, sering menghubungi bekas kekasih yang berstatus suami orang, sehingga mengganggu rumah tangga lelaki itu.
Hasil perkahwinan Syamsul dan Puteri Sarah, pasangan itu dikurniakan dua anak iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4